PolyCC cipta rekod kebangsaan dalam LLM, angkat inovasi AI TVET

LocalTechnology
19 Aug 2025 • 10:55 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) terus melakar sejarah apabila mencatat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Largest Participation in AI Large Language Model (LLM) League dengan penyertaan seramai 2,501 peserta, sekali gus menegaskan keupayaan pelajar TVET menguasai teknologi terkini Kecerdasan Buatan (AI).

PolyCC angkat inovasi AI TVET

image is not available

Pengiktirafan tersebut diumumkan sempena Majlis Anugerah Inovasi Pembelajaran Digital Politeknik dan Kolej Komuniti (eDOLA) ke-13 yang bertemakan “An AI TVET Experience”, disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), malam tadi.

image is not available

Menurut Mustapha, pencapaian LLM ini bukan sahaja kejayaan teknikal, tetapi simbol kemampuan pelajar TVET untuk tampil sebagai pencipta dan inovator dalam bidang AI.

“Pertandingan LLM ini telah membuktikan bahawa pelajar TVET bukan sekadar memahami teknologi semasa, malah mampu membina penyelesaian berasaskan AI yang praktikal, relevan dan berimpak tinggi.
“Inilah bukti bahawa institusi TVET kita tidak hanya menjadi penerima teknologi, tetapi berupaya menjadi pemain utama dalam ekosistem digital negara,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Beliau turut menegaskan bahawa pendigitalan bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan, dan POLYCC sebagai penyumbang 40 peratus lulusan TVET negara perlu kekal di barisan hadapan dalam memperkukuh pendidikan digital.

Majlis eDOLA 2025 mengiktiraf lima kategori utama iaitu Augmented Page; AI EduVision; PodiumCast; TikTok Tutor serta Anugerah Rekabentuk Instruksional Fleksibel Teradun dan Bersemuka (ARIF).

Politeknik Muadzam Shah (PMS) dinobatkan sebagai juara keseluruhan tahun ini.

image is not available

Selain itu, POLYCC OVDL Instructional Framework turut dilancarkan, iaitu kaedah pembelajaran berasaskan Open Virtual Distance Learning yang mengintegrasikan teknologi digital untuk meningkatkan keberkesanan pembelajaran dalam talian.

image is not available

Majlis itu turut menyaksikan penyampaian peruntukan Horizon Digital POLYCC Zon Sabah serta penganugerahan Tokoh Reformasi TVET Digital kepada Ketua Pengarah JPPKK, Datuk Dr. Mohd Zahari Ismail, atas kepimpinan beliau mendorong transformasi digital sehingga mencapai 70 peratus pelaksanaan pembelajaran teradun di POLYCC.

image is not available

Sementara itu, Mustapha menyeru seluruh warga POLYCC agar terus mengejar teknologi dengan hikmah serta membudayakan inovasi berteraskan insan.

“Harapan saya, POLYCC bukan sahaja menyahut seruan digital tetapi menjadi pelakar masa depan dengan membina ekosistem inovasi terbuka serta membudayakan pendidikan digital yang mampan,” tambah beliau.

Dengan penganjuran eDOLA ke-13, JPPKK sekali lagi membuktikan komitmennya untuk menerajui inovasi digital dan AI dalam TVET, menjadikan POLYCC sebagai pemacu transformasi pendidikan tinggi negara.