
Industri perhotelan kini semakin berdepan dengan persekitaran yang mencabar ekoran perubahan gaya hidup masyarakat yang semakin ‘demanding’ dan mereka juga lebih bijak dalam membuat pilihan serta perbandingan.
Kuasa wang memberi pilihan kepada pengguna untuk membuat pilihan dan trend terkini, tetamu hotel mahukan pengalaman pemberibadian (personalisation experience) yang membuat mereka rasa dihargai dan dihormati oleh pihak hotel.
Bagi memenuhi keperluan tersebut, Pengurus Besar Petaling Jaya Marriot Hotel, Daniyal Ng berkata, pihaknya sentiasa berpegang kepada empat prinsip ‘wonderful’ yang menjadi panduan dalam penyampaian perkhidmatan dan layanan mesra.
Beliau yang memiliki lebih 25 tahun pengalaman dalam bidang perhotelan itu menerangkan, prinsip mengambil berat, menjadi pencerita, menampilkan luar biasa dan sikap terbuka perlu ada untuk membolehkan sesebuah hotel itu mendapat tempat di pasaran serta menawan hati tetamunya agar bakal kembali ke premis tersebut melalui pengalaman yang diperolehnya.
“Kami mahu menawarkan satu keunikan dan luar biasa daripada apa yang terdapat di pasaran, pengalaman tetamu menjadi keutamaan dan itulah kekuatan kami,” katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.

KOSMO!: Pelancong luar pastinya datang ke Malaysia hanya mengenali dengan lebih dekat tentang Kuala Lumpur tetapi sebenarnya banyak hotel yang mereka kunjungi terletak di Petaling Jaya (PJ), adakah destinasi ini agak ketinggalan daripada radar mereka?
DANIYAL NG: Saya baru balik dari satu trip perniagaan di Indonesia dan ramai antara mereka tidak tahu di manakah lokasi PJ dan agak memeranjatkan juga ramai rakyat Malaysia tidak tahu PJ ini memiliki nilainya yang tersendiri dan berpotensi untuk menjadi pusat pelancongan yang terkenal.
Lokasi sebenarnya tidak jauhpun dari ibu kota dengan 15 minit pemanduan ke Bukit Bintang, jika tiada kesesakan jalan raya. Sebenarnya sekitar daerah ini, ia padat dengan keunikannya yang tersendiri khususnya untuk menarik pelancong merasai makanan dan minuman (F&B) tempatan yang sangat istimewa.
Boleh jelaskan tentang keunikan tersebut?
Mungkin kita sudah biasa mendengar makanan popular iaitu Village Park Nasi Lemak yang mana orang sanggup beratur panjang untuk menikmati makanan di situ.
Terdapat juga lokasi yang terkenal masa kini iaitu Happy Mansion yang terletak di Seksyen 17, yang mana ia adalah kawasan perumahan blok lama tetapi cukup popular sebagai hab makanan, lokasi cafe hopping dan juga di tingkat bawah blok tersebut terdapat pelbagai kafe moden, restoran hipster, bakeri dan juga kedai makan tradisional. .
Selain itu, SS2 juga padat dengan pelbagai tempat makan yang menjadi tumpuan masyarakat di Lembah Klang, berdekatan juga adalah di sekitar Damansara Heights dan Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

Bagaimanakah destinasi popular ini boleh memberi impak positif kepada pemain dalam industri perhotelan?
Kami mahu bekerjasama dengan komuniti tempatan untuk membangunkan industri pelancongan khususnya di PJ, kami sedia berbincang dengan mana-mana pihak untuk merealisasikan bidang berpotensi ini termasuk dari aspek makanan dan minuman yang pelbagai terdapat di kawasan ini.
Kami mahu membawa tetamu kami meneroka keunikan dan merasai sendiri makanan dan minuman tempatan yang popular agar penginapan mereka dimanfaat dengan pengalaman yang menarik untuk dibawa pulang.
Petaling Jaya Marriot telah mula beroperasi sejak bulan Disember tahun lalu dan bagaimanakah perkembangannya hingga kini?
Hotel ini telah berusia kira-kira 30 tahun. Proses pembukaan hotel ini meliputi tiga fasa dan kini sudah memasuki fasa ketiga yang mana apabila kita mula membuka pintu kepada umum pada bulan Disember tahun lalu, sebenarnya kerja-kerja pengubahsuaian itu sedang berjalan.
Kita jangkakan semua kerja-kerja ini akan siap sepenuhnya sebelum hotel ini dirasmikan pada bulan November. Kerja-kerja pemasaran telah bermula secara awal pada pertengahan tahun lalu kerana kami tidak mahu secara agresif menjualnya kepada umum kerana banyak perkara tidak disiapkan lagi.
Jika kami menjualnya lebih awal, sedangkan kemudahan belum siap sepenuhnya, ini akan memberi kesan negatif pada kita. Tetapi pada separuh kedua tahun lalu, kami mula aktif mempromosikan tentang hotel ini kepada semua sehingga sekarang.
Jadi, bagaimana proses transformasi daripada hotel sebelum ini kepada sekarang, adakah ia ditutup terlebih dahulu sebaik diambil alih oleh pemilik baharu dan seterusnya memulakan kerja-kerja pengubahsuaian hotel?
Hotel ini tidak dihentikan operasinya meskipun dalam tempoh pandemik lalu. Ya sebelum ini, ia dikenali sebagai Hotel Eastin dan selepas diambil alih oleh Kumpulan Marriot, hotel ini dijenamakan sebagai Marriot Petaling Jaya di bawah seorang pemilik yang baharu.
Proses transformasi ini kami lihat sebagai ‘live conversion’ dan bukan ‘shut down conversion’ yang mana biasa dilakukan, kita tutup dulu kemudian menjalani proses pengubahsuaian premis.
Jadi, pada malam 27 Disember tahun lalu, berlakunya satu acara simbolik yang saya sendiri hadiri iaitu dengan menukar logo jenama hotel yang lama kepada yang baharu, itu satu pengalaman menarik yang saya alami bersama warga kerja yang lain.
Kami jangkakan hotel ini akan beroperasi sepenuhnya pada akhir tahun ini dengan majlis pembukaannya akan diadakan bulan depan.

Apakah antara keunikan yang ditawarkan?
Kami mahu mengukuhkan kedudukan kami dalam segmen MICE iaitu mesyuarat, insentif, persidangan dan majlis yang mana di hotel ini terdapat banyak bilik mesyuarat dan majlis yang dilengkapi dengan pelbagai teknologi moden yang dapat memenuhi keperluan pelanggan.
Restoran kami juga semakin terkenal dalam kalangan pencinta makanan laut untuk menikmati makan malam secara bufet, dengan usaha ini kami dapat menyokong perniagaan makanan laut tempatan dari Sabah. Tidak lama lagi, Restoran Cina pula akan dibuka pada awal tahun 2027 yang sememangnya dinanti-nantikan oleh para peminat makanan tersebut, hotel sebelum ini sememangnya popular dalam kalangan pelanggan khususnya di Lembah Klang.
Selain itu, bagi mereka yang datang untuk bercuti di sini, kami menawarkan bilik keluarga dengan lima tema yang memberi peluang kepada anak- anak merasai pengalaman berharga di bilik masing-masing.
Lebih menarik, kami juga menyediakan Kelab Kanak-Kanak yang membuatkan mereka teruja meneroka pengalaman, saya bayangkan dulu sebelum ia dilancarkan tidak lama lagi, seperti berada di mini Kidzania. -KOSMO!ONLINE
The post Populariti PJ dalam bidang F&B, jadi taruhan pemain hotel appeared first on Kosmo Online.

