
KUANTAN - Sebuah kereta Porsche musnah sepenuhnya selepas terbakar di laluan keluar Plaza Tol Lanchang, Lebuhraya Pantai Timur (LPT1), hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahudin Isa, berkata kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
“Insiden membabitkan sebuah kereta Porsche yang terbakar 100 peratus.
“Tiada mangsa terbabit dan pemandu berusia 36 tahun selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 1.42 petang sebelum menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran hos air.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 2.08 petang, manakala operasi ditamatkan pada jam 2.28 petang. - Getaran, 11 September 2026






