Port pelesit rempit berpesta kena ‘pukat’, 179 saman dikeluarkan

19 Oct 2026 • 9:35 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Port pelesit rempit berpesta kena ‘pukat’, 179 saman dikeluarkan

SEBERANG PERAI – Polis menyerbu lokasi tumpuan kumpulan pelesit rempit menerusi operasi khas selama sembilan jam di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Bagan Ajam di sini, awal pagi tadi.

Kehadiran pasukan polis sejak pukul 5 petang semalam berjaya membanteras kegiatan penunggang motosikal yang didakwa sering menjadikan laluan lebuh raya itu sebagai litar lumba haram pada hujung minggu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, operasi yang berakhir pada pukul 2 pagi tadi memberi tumpuan kepada penunggang motosikal yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas, termasuk mengubah suai struktur motosikal dan ekzos.

Menurutnya, sebanyak 30 motosikal disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala 179 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 158 saman dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 21 notis.

“Antara kesalahan dikesan ialah tiada lesen memandu (25), nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan (24), tidak mempamerkan pelekat lesen kenderaan motor (17) serta mengubah suai struktur dan peralatan motosikal (16).

“Selain itu, sebanyak 15 saman dikeluarkan bagi kesalahan mengubah suai ekzos, manakala 13 saman membabitkan motosikal tanpa nombor pendaftaran,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, seramai 145 individu dan 133 motosikal diperiksa sepanjang operasi berkenaan, namun tiada tangkapan dilakukan.

Tinjauan Kosmo! di BORR sebelum ini mendapati kegiatan lumba haram berlangsung tanpa mengira masa, sama ada pada waktu petang, malam mahupun awal pagi.

Kumpulan penunggang motosikal terbabit dilihat seolah-olah tidak menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya lain, termasuk pemandu kereta yang melalui lebuh raya berkenaan.

Malah, baru-baru ini tular video rakaman dron yang memaparkan kegiatan kumpulan pelesit rempit di lokasi itu, dengan aksi mereka memenuhi laluan berkenaan seolah-olah pesta pada waktu malam. -KOSMO! ONLINE

The post Port pelesit rempit berpesta kena ‘pukat’, 179 saman dikeluarkan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved