Industri Semikonduktor Tempatan Bersiap-sedia Untuk Kemungkinan Pemotongan Bekalan Helium – MSIA

LocalBusiness & Finance
18 Mar 2026 • 6:04 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Peperangan di rantau Timur Tengah yang melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan juga Israel dilihat telah menyebabkan harga minyak meningkat dengan mendadak untuk pasaran global. Kenaikan harga ini dilihat bukan sahaja menjejaskan sektor pengangkutan dan industri berat, tetapi juga sektor-sektor lain, seperti pembuatan cip semikonduktor.

Ini adalah kerana untuk sektor cip semikonduktor, penggunaan gas helium dilihat cukup penting sekali untuk penyejukan komponen tersebut, khususnya dalam proses ukiran litografi untuk mencipta sesebuah cip semikonduktor, khususnya yang menggunakan proses 5nm keatas.

Helium dihasilkan semasa cecair gas asli diproses untuk menjadi bahan-bahan lain, dan gas tersebut dilihat sangat penting untuk industri pengeluaran cip semikonduktor global.

Malaysia merupakan rumah kepada sejumlah syarikat-syarikat pereka, pembangun, pembungkus dan penguji cip semikonduktor, dan menurut Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), mereka sedang mengikuti perkembangan insiden tersebut dan telah mula bersiap-sedia untuk membuat perubahan yang diperlukan untuk memastikan bahan seperti gas nadir mencukupi untuk masa akan datang.

Menurut presiden MSIA, Wong Siew Hai, syarikat-syarikat semikonduktor tempatan sedang meneliti apa yang sedang berlaku di Timur Tengah, walaupun secara teknikalnya syarikat-syarikat Malaysia tidak terlalu terkesan dengan kenaikan harga gas helium yang datang dari Timur Tengah.

Sebahagian besar daripadanya ialah kebanyakan syarikat-syarikat Malaysia terlibat dalam proses pembungkusan dan ujian cip semikonduktor, dan untuk proses ini, gas nitrogen lebih banyak digunakan berbanding dengan helium.

Selain daripada itu, syarikat-syarikat semikonduktor tempatan juga telah mempelbagaikan sumber-sumber nadir bumi mereka, dan tidak bergantung kepada satu pengeluar sahaja. Ini membolehkan mereka mengekalkan kelangsungan syarikat untuk masa akan datang.

Malaysia merupakan salah satu pasaran penting untuk pengeluaran cip semikonduktor global. Tujuh peratus daripada perdagangan semikonduktor global memasuki Malaysia, manakala syarikat-syarikat semikonduktor tempatan juga bertanggungjawab untuk 13 peratus daripada pembungkusan dan ujian cip semikonduktor global.