Pos Malaysia Menyatukan Semua Penghantaran Rentas Sempadan Dibawah Jenama Redly

LocalBusiness & Finance
9 Oct 2025 • 12:00 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pos Malaysia, syarikat yang bertanggungjawab untuk sebarang tugasan surat-menyurat tempatan dan antarabangsa hari ini telah mengumumkan bahawa mereka akan menyatukan semua proses penghantaran dan penerimaan persuratan dan kargo ke luar dan ke dalam negara melalui jenama Redly.

Dengan janji ‘From anywhere to everywhere’, Redly menghubungkan orang ramai, perniagaan, dan komuniti di seluruh dunia, selaras dengan tema Hari Pos Sedunia tahun ini, ‘Perkhidmatan Tempatan. Capaian Sejagat’. Redly menggabungkan pos antarabangsa, bungkusan, kargo, dan penghantaran e-dagang dalam satu platform. Sama ada anda menghantar surat, dokumen, bungkusan, atau menjalankan operasi logistik global, Redly dapat memudahkan pengalaman pelanggan dengan menawarkan fleksibiliti, ketelusan, dan capaian global.

image is not available

Bagi memenuhi pelbagai keperluan pelanggan antarabangsa, Redly menawarkan tiga produk utama, termasuklah:

  • RedlyExpress – Perkhidmatan terpantas untuk penghantaran kritikal dengan jaminan penghantaran pada hari yang ditetapkan serta ketelusan sepenuhnya dari awal hingga akhir.
  • RedlyPriority – Perkhidmatan penghantaran yang boleh dipercayai pada harga kompetitif.
  • RedlyConnect – Penyelesaian kos efektif untuk penghantaran antarabangsa ringan dan tidak tergesa-gesa.

image is not available

Pos Malaysia mengatakan bahawa perkhidmatan Redly ini sudahpun tersedia untuk orang ramai dan boleh diakses melalui semua titik sentuh Pos Malaysia, termasuk pejabat pos, Pos Mini, ejen Pos dan platform atas talian Redly.

Kelak, Redly juga akan memperkenalkan perkhidmatan SendParcelPro, sebuah platform penghantaran digital premium yang menjanjikan penghantaran bungkusan yang lebih cepat dan selamat.