Pos Malaysia terus pulih, hasil naik 7.3% didorong pertumbuhan penghantaran bungkusan pada 1QFY26

LocalBusiness & Finance
18 May 2026 • 6:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pos Malaysia terus pulih, hasil naik 7.3% didorong pertumbuhan penghantaran bungkusan pada 1QFY26 Image from: Pos Malaysia terus pulih, hasil naik 7.3% didorong pertumbuhan penghantaran bungkusan pada 1QFY26 liza18/05/2026 - 18:26 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Mei – Pos Malaysia Berhad mencatat peningkatan prestasi kewangan bagi suku pertama berakhir FY2026 apabila hasil kumpulan terus menunjukkan pertumbuhan positif dipacu oleh peningkatan penghantaran bungkusan dan prestasi lebih baik dalam beberapa segmen perniagaan.

 

Pos Malaysia Berhad merekodkan hasil sebanyak RM501.4 juta, meningkat 7.2 peratus berbanding suku sebelumnya dan 7.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Syarikat turut mencatat penambahbaikan ketara dari segi kerugian sebelum cukai apabila susut 79.7 peratus secara suku ke suku dan 63.7 peratus tahun ke tahun, menunjukkan pemulihan operasi yang lebih stabil.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Charles Brewer berkata prestasi lebih kukuh ini disokong oleh pertumbuhan hasil merentas semua segmen serta penambahbaikan kecekapan kos dan pelaksanaan transformasi operasi yang sedang berjalan.

 

“Walaupun cabaran struktur dalam segmen pos masih berterusan, syarikat mula melihat manfaat daripada usaha pengoptimuman rangkaian, pengurusan hasil lebih berdisiplin serta pendigitalan operasi.

 

“Segmen perkhidmatan pos mencatat pertumbuhan volum bungkusan sebanyak 24.6 peratus tahun ke tahun, didorong oleh aktiviti e-dagang yang kekal kukuh serta peningkatan bahagian pasaran dalam penghantaran bungkusan.

 

“Namun, segmen ini masih berdepan tekanan daripada penurunan berterusan surat tradisional serta pengurangan kunjungan pelanggan ke kaunter fizikal akibat peralihan kepada perkhidmatan digital,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Syarikat turut menegaskan bahawa persekitaran kawal selia kekal penting, khususnya berkaitan reformasi Akta Perkhidmatan Pos dan mekanisme pembiayaan obligasi perkhidmatan sejagat (USO) bagi memastikan kelestarian jangka panjang.

 

Bagi segmen Pos Aviation, prestasi dilaporkan lebih baik sepanjang suku tersebut disokong oleh sumbangan kukuh dalam operasi pengendalian darat, kargo serta katering penerbangan.

 

Sementara itu, Pos Logistics terus melaksanakan pelan penstrukturan semula dengan fokus kepada pengurangan kos operasi, pengoptimuman kontrak serta peningkatan produktiviti bagi memperbaiki prestasi keseluruhan.

 

Dari sudut perkhidmatan, kumpulan mencatat peningkatan ketara dalam tahap kecekapan operasi apabila prestasi penghantaran hari berikutnya (D+1) mencapai 92 peratus pada 2025 yang meningkatkan kebolehpercayaan penghantaran.

 

Pos Malaysia turut menerima pengiktirafan antarabangsa apabila meraih Anugerah Emas International Express Mail Service (EMS) daripada Universal Postal Union (UPU), dengan kedudukan ketiga daripada 198 operator pos di seluruh dunia.

 

Bagi prospek FY2026, kumpulan menjangka persekitaran operasi kekal mencabar dipengaruhi tekanan industri, persaingan, perubahan peraturan serta ketidaktentuan geopolitik global yang memberi kesan kepada kos dan permintaan logistik.

 

Walaupun begitu, syarikat menegaskan fokus akan terus diberikan kepada pelaksanaan rangka kerja transformasi termasuk pengoptimuman rangkaian, pengembangan saluran digital serta pengurusan kos yang lebih berdisiplin.

 

DRB-HICOM Berhad kekal sebagai pemegang saham majoriti Pos Malaysia, yang terus menyokong usaha transformasi kumpulan dalam memperkukuh kedudukan sebagai penyedia perkhidmatan pos dan logistik negara. - DagangNews.com

Terkini standard