amree18/05/2026 - 18:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Mei – Prestasi 99 Speed Mart Retail Holdings Berhad terus positif apabila meraih keuntungan bersih kepada sebanyak RM188.6 juta bagi tempoh suku pertama berakhir 31 Mac 2026.
Peningkatan 30.1% ini didorong terutamanya oleh campuran produk bukan keperluan yang lebih baik dan kecekapan operasi penjimatan tenaga mengurangkan kos utiliti melalui inisiatif hijau korporat.
Menurutnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pendapatan kumpulan tersebut meningkat kira-kira 17.5% kepada RM3.07 billion, berbanding sebanyak RM2.61 bilion pada suku sama tahun sebelumnya.
"Pertumbuhan hasil ini disokong oleh penambahan bersih 253 kedai cawangan baharu dalam tempoh setahun, menjadikan jumlah keseluruhan ialah 3,086 outlet setakat 31 Mac 2026," kata 99 Speed Mart.
Selain itu ujarnya, pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara bermula pukul 9 pagi, dan kestabilan perbelanjaan pengguna bagi barangan keperluan turut mengukuhkan prestasi jualan.
Sementara itu tambah kumpulan tersebut, sumbangan hasil menerusi platform e-dagang jualan pukal menyumbang tambahan pendapatan kira-kira RM15.5 juta berbanding rekod pada suku pertama 2025.
Lembaga Pengarah 99 Speed Mart justeru mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 2.25 sen sesaham, melibatkan jumlah pembayaran RM189.0 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lee Thiam Wah menyatakan syarikat akan terus memberi tumpuan kepada pengoptimuman kos, serta pengurusan inventori yang lebih cekap.
"Kami turut memberi keutamaan kepada harga yang kompetitif bagi mengekalkan prestasi di tengah-tengah persekitaran pasaran yang mencabar," jelas beliau dalam kenyataan kumpulan berkenaan.
Beliau juga menekankan komitmen syarikat terhadap pertumbuhan jangka panjang melalui peruntukan modal untuk pembukaan outlet baharu dan pusat pengedaran, serta pelaburan berkaitan ESG. - DagangNews.com






