Potensi keuntungan CelcomDigi berisiko terjejas berikutan prestasi DNB - MBSB Research

LocalBusiness & Finance
10 Dec 2025 • 11:55 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Potensi keuntungan CelcomDigi berisiko terjejas berikutan prestasi DNB - MBSB Research
image is not available
liza10/12/2025 - 11:55 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Dis – CelcomDigi Berhad perlu mengambil kira potensi risiko keuntungan apabila kumpulan ini menggabungkan prestasi kewangan masa depan syarikat berkaitan iaitu Digital Nasional Berhad (DNB), menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, risiko tersebut  wujud apabila prestasi DNB dimasukkan ke dalam akaun konsolidasi CelcomDigi yang boleh memberi kesan kepada keuntungan syarikat.

 

Selain itu, firma tersebut turut mengingatkan agar CelcomDigi lebih berwaspada terhadap kelemahan harga saham semasa yang kini diniagakan pada EV/EBITDA 8.5x, lebih rendah daripada purata lima tahun 10.7x. 

 

“Walaupun ini menunjukkan penilaian yang tidak membebankan, kelemahan harga saham baru-baru ini memberi risiko volatiliti bagi pelabur dan mungkin menjejaskan persepsi pasaran terhadap nilai syarikat.

 

“Selain itu, CelcomDigi perlu memastikan usaha migrasi pelanggan daripada pra bayar ke pasca bayar berjalan lancar untuk menyokong pertumbuhan hasilnya,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.

 

Firma itu berkata, persaingan dalam pasaran telekomunikasi Malaysia juga amat sengit, dengan pemain lain menawarkan pelan harga, data dan perkhidmatan yang serupa. 

 

“Ini boleh menjejaskan pertumbuhan pelanggan dan purata hasil pengguna (ARPU) syarikat. Risiko lain termasuk peningkatan kos operasi seperti tenaga, sewa dan kakitangan, serta cabaran menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan permintaan pelanggan seperti 5G, IoT dan perkhidmatan digital.

 

“Di samping itu, perubahan dasar kerajaan, peraturan telekomunikasi dan faktor geopolitik boleh menjejaskan operasi atau strategi syarikat. Terdapat juga risiko kadar tukaran dan hutang jangka panjang yang boleh memberi tekanan kepada aliran tunai syarikat,” katanya.

 

image is not available

 

Walau bagaimanapun, MBSB Research berkata, CelcomDigi kini berada pada kedudukan lebih baik selepas integrasi, dengan saluran digital dan fizikal yang diperbaiki untuk meningkatkan produktiviti. 

 

“Pendapatan perkhidmatan mudah alih menunjukkan peningkatan konsisten, manakala bahagian penyelesaian korporat berkembang dengan penawaran penyelesaian pintar bersepadu berkuasa 5G.

 

“Pelan CelcomDigi One yang menggabungkan pascabayar, fiber, peranti dan perkhidmatan penstriman dalam satu pakej nilai turut membantu meningkatkan pengekalan pelanggan. 

 

“Penekanan pengurusan terhadap kecemerlangan operasi dan penjimatan kos secara lestari dijangka menyokong pertumbuhan margin keuntungan pada masa depan,” katanya.

 

Sehubungan itu, MBSB Research menaikkan saranan untuk CelcomDigi kepada Beli daripada Neutral sebelum ini dengan sasaran harga yang diperoleh melalui DCF (Discounted Cash Flow) tidak berubah pada RM3.67. 

 

MBSB Research berkata, pendapatan CelcomDigi dijangka meningkat daripada RM12.999 bilion pada 2025 kepada RM13.859 bilion pada 2027.

 

“Keuntungan operasi dijangka meningkat daripada RM2.744 bilion pada 2025 kepada RM3.337 bilion pada 202.

 

“EPS teras dijangka meningkat daripada 14.69 sen (2025E) kepada 18.50 sen (2027F) manakala dividen sesaham dijangka meningkat daripada 14 sen (2025E) kepada 17.6 sen (2027F),” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard