Potensi pancing dasar di perairan Balok

24 Sep 2026 • 11:15 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Potensi pancing dasar di perairan Balok

Air masih belum cukup pasang, jadi kami terpaksa menunggu sehingga pukul 5.30 petang barulah bot dapat berlepas dari jeti Balok di Kuantan, Pahang.

Satu jam diperlukan untuk sampai ke unjam yang pertama bagi sesi apollo mencari ikan umpan yang berupa kembung, selar dan tamban.

Proses mencari umpan ini memerlukan semangat kerjasama dari seluruh pasukan kerana tidak mahu membuang masa berharga untuk memancing dasar nanti.

Ada juga orang mempersoalkan, kenapa tidak beli sahaja umpan di pasar, bukankah lebih mudah?

Kami ada sahaja bawa bekal umpan dibeli dari pasar, namun itu biasanya hanya dijadikan umpan simpanan, jika umpan hidup atau segar kehabisan.

Realitinya, umpan baru sahaja ditangkap di kawasan pan­cingan lebih digemari oleh ikan di dasar kerana bau dan rupa semula jadinya yang lebih asli berbanding umpan pasar sudah ‘diperisakan’ dengan ubat pengawet.

Sebaik bekalan umpan segar mencukupi untuk sesi memancing trip ini. Tekong terus menuju ke lokasi pertama pancingan dan kami sampai di situ pada pukul 9 malam.

Malam pertama
Ada ahli trip yang sudah kelaparan kerana belum menikmati hidangan makan malam, namun sempat menurunkan umpan.

Akibat perbuatan tersebut, ada yang bertaburan nasi di pinggan kerana baru sahaja hendak menyuap, joran sudah melentur dan kelam-kabut hendak meyembatnya.

Di lubuk pertama ini, ikan jenahak memunculkan diri, walaupun tidak banyak, namun saiznya boleh tahan kasar.

Kami berkampung di lubuk ini dan tidak ramai ahli trip dapat bertahan sehingga ke subuh.

Rata-rata lelap kerana kepenatan akibat perjalanan jauh dari Kuala Lumpur.

Keesokan paginya, kami terus bergerak ke lokasi pancingan lain yang berupa kawasan berbatu karang.

Lubuk dara
Sedang memacu bot ke kawasan pancingan tersebut, tiba-tiba Tekong Amin memperlahankan kelajuan botnya dan membuat pusingan ‘U’ kerana terlihat di dalam sonar sekumpulan ikan di satu lokasi yang digelarkan ‘lubuk dara’.

Selepas mendapat titik koordinat lubuk itu, dia mengarahkan kami bersedia dengan perambut paternoster iaitu stail apollo, tetapi hanya guna dua atau tiga perambut anak.

Bot berhanyut di atas lubuk dan hon dibunyikan sekali untuk pemancing menurunkan umpan.

Image from: Potensi pancing dasar di perairan Balok
Penulis dengan kerapu ‘boron’ yang menjadi idaman setiap kali turun ke laut.

Apabila umpan mencecah sahaja dasar, semua orang dapat menarik ikan kerapu bintik. Biasanya, ikan ini comel sahaja saiznya, tetapi di sini saiznya agak kasar.

Kemudian, tekong membunyi­kan hon sebanyak dua kali menandakan umpan perlu dikarau naik kerana kedudukan bot sudah tersasar dari lubuk.

Begitulah rutin kami di lubuk ini sehinggalah tiada lagi ikan kerapu bintik dinaikkan.

Selepas semua orang berpuas hati, tekong kemudian meneruskan perjalanan semula ke lubuk sasaran asal.

Di sini, kami meneruskan kaedah bottom drift dan menyaksikan beberapa spesies ikan lain dapat didaratkan.

Antaranya, pelbagai jenis kerapu, ibu kerisi, tenggiri dan juga tongkol.

Menjelang malam, teknik bottom drift menggunakan perambut paternoster bertukar kepada kaedah pancingan dasar menggunakan perambut sepanjang satu setengah depa.

Tidak banyak ikan yang kami perolehi hasil daripada pancingan malam berban­ding siang tadi.

Cuma, sesuatu yang menarik, kami menyaksikan tenggiri makan waktu malam apabila ada yang mendapat dua ekor dengan cara menghanyutkan umpan ikan tamban hidup.

Pagi hari kedua, kami berpindah lubuk, kali ini tekong berpesan supaya kami bersedia dengan perambut paternoster, tetapi kena guna tali perambut lebih kasar kerana keadaan dasar berstruktur.

Di sini, kami menaikkan ikan ibu kerisi, kerapu bintik, kerapu bara, merah dan merah coreng. Kemudian, keadaan menjadi senyap, terus tekong berpindah ke beberapa lokasi lagi dan kami masih lagi memancing dengan kaedah sama.

Setelah beberapa kali berpindah dan mengutip tambahan hasil tangkapan, ak­hirnya bot menurunkan sauh untuk parkir kerana sudah lewat senja.

Seperti malam pertama, kaedah paternoster bertukar semula kepada satu perambut panjang. Di lubuk ini, seekor lagi ikan tenggiri dinaikkan bersama-sama beberapa ekor ikan ibu kerisi.

Pada malam itu, peratusan ikan makan umpan agak berkurangan menyebabkan ramai yang tidur awal selepas kepenatan memancing tanpa henti sepanjang hari.

Kerapu trofi
Sedar pada waktu subuh, saya meme­riksa umpan yang sudah pun habis di mata kail, lantas diganti dengan kepala sotong dan terus diturunkan ke dasar.

Tidak menunggu lama, kelihatan ada kutisan kecil berdasarkan gegaran di hujung joran. Geram dengan ikan-ikan kecil yang mungkin mengacau umpan, saya tarik naik semula.

Kelihatan separuh daripada umpan hilang, tetapi tanda padanya bukan kesan getuan ikan-ikan kecil. Ia kelihatan seperti dimamah seekor ikan bersaiz kasar.

Merasakan ada potensi ikan saiz gadang di dasar, umpan yang sama saya turunkan semula. Baru menegangkan tali, loceng penggera di hujung joran bergetar menandakan ada sesuatu sedang mengambil umpan.

Kemudian, joran melentur, tetapi hairan ia menjadi tegak semula.

Tidak berlengah dan tanpa ragu-ragu, butang karauan di kekili elektrik terus di ditekan dan sebaik tali digulung, joran terus menunduk.

Saya membiarkan sahaja kekili melakukan tugasnya. Ada kalanya, ia terhenti dan selepas beberapa ketika mengulung semula. Tidak lama kemudian, timbul seekor kerapu boron yang kasar saiznya.

Ikan berjaya digancu naik ke atas bot dan selepas ditimbang, ia seberat 16.1 kilogram. Sudah lama saya tidak bertemu ikan trofi sebegini kasar saiznya, ia menjadi penutup trip kami kali ini.

The post Potensi pancing dasar di perairan Balok appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved