
DUNGUN – Seorang suri rumah teruja menghias rumahnya di Taman Madani, Bandar Al Muktafi Billah Shah, di sini dengan dekorasi bertemakan patriotik sempena Sambutan Bulan Kebangsaan ke-69.
Kitam Mat Deris, 55, berkata, dia bukan sahaja menghias rumahnya dengan Jalur Gemilang malah dekorasi lain seperti payung dan potret kesemua 10 Perdana Menteri.
“Kerja-kerja menghias rumah saya ini telah dilakukan sedikit demi sedikit sejak awal bulan ini.
“Kebiasaannya saya yang dibantu suami, Che Musa Ismail, 74, dan anak, Murni Safiqah, 32, mengambil masa tiga jam setiap pagi dan petang untuk melalukan kerja-kerja menghias,” katanya ketika ditemui di Taman Madani, Bandar Al Muktafi Billah Shah, di sini semalam.
Katanya, dia sekeluarga menghabiskan lebih RM500 untuk membeli Jalur Gemilang dan dekorasi lain bagi menghias rumah mereka sempena Bulan Kebangsaan tahun ini.
Katanya, dia tidak kisah berbelanja asalkan rumahnya ceria selain dapat menarik masyarakat setempat terutama generasi muda menghayati erti kemerdekaan negara.
“Sengaja letak potret semua Perdana Menteri di pekarangan rumah agar anak-anak muda mengenalinya.
“Kerja-kerja dekorasi kemerdekaan ini tidak leceh lagi sebab saya memang minat menghias laman rumah dengan pokok bunga dan herba sebelum ini,” katanya.
Tambahnya, dia juga bersyukur usaha keluarga mendapat pengiktirafan apabila terpilih mewakili taman perumahannya dalam pertandingan keceriaan sempena sambutan Hari Kebangsaan kali ini anjuran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah). -KOSMO! ONLINE
The post Potret PM ‘penyeri’ rumah sambut merdeka appeared first on Kosmo Digital.

