
PETALING JAYA: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memperkukuh pembangunan komuniti di Kampung Sungai Mahang menerusi pelaksanaan Program Karisma Komuniti di bawah Projek Kampung Angkat Madani 2026 yang memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, pemindahan ilmu dan pengukuhan jaringan sosial.
Inisiatif anjuran Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLiMJI) USIM itu bertujuan meningkatkan kesejahteraan penduduk menerusi pelaksanaan projek berimpak tinggi berasaskan keperluan komuniti.
Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani berkata Program Kampung Angkat Madani menjadi platform untuk USIM menyalurkan kepakaran pelbagai bidang kepada masyarakat di samping mengenal pasti potensi tempatan yang boleh dibangunkan.
“Program itu juga bertujuan mengangkat dan memasarkan potensi komuniti termasuk perusahaan roti serta produk ekopelancongan ke peringkat lebih luas.
“Antara inisiatif yang dirancang ialah menaik taraf kemudahan awam termasuk surau serta melaksanakan aktiviti keceriaan kampung bagi mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif kepada penduduk,” katanya.
Program itu turut diserikan dengan pelepasan 3,000 ekor anak ikan baung ke Sungai Mahang sebagai usaha memelihara ekosistem sungai dan memperkasa potensi ekopelancongan berasaskan komuniti.
Selain itu, program itu juga turut menyaksikan Majlis Penyerahan Watikah Kampung Angkat Madani 2026 kepada Kampung Sungai Mahang sebagai simbol kerjasama strategik antara USIM dan komuniti setempat.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Mahang, Khairul Azmi Yahaya berkata, program ini membuka peluang kepada penduduk menimba ilmu, berkongsi pengalaman serta mengeratkan hubungan dengan institusi pengajian tinggi.
“Kampung Sungai Mahang berpotensi menjadi model Kampung Angkat Madani yang membuktikan kerjasama antara universiti, kerajaan, industri dan komuniti mampu memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Program berkenaan turut melibatkan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Fakulti Pergigian serta pasukan Quran Buddies yang menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma, khidmat nasihat pengurusan harta pusaka dan bimbingan al-Quran Braille kepada penduduk.
Pelaksanaan projek itu mencerminkan peranan USIM bukan sahaja sebagai institusi pendidikan, malah sebagai pemangkin pembangunan komuniti menerusi pendekatan libatsama yang mampan. – UTUSAN
The post USIM perkasa Kampung Sungai Mahang menerusi projek Kampung Angkat Madani appeared first on Utusan Malaysia.






