
KUALA TERENGGANU - Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) di sini bergema dengan alunan bacaan Surah Al-Insan sempena Program World #QuranHour 2023 yang diadakan serentak di seluruh negara pada Khamis.
Seramai 300 peserta hadir pada majlis itu dengan bacaan surah dimulakan pada jam 11 pagi oleh qari jemputan, Mohamad Syakir Asyraf Shahaimi dan Muhammad Syafiq Mohd Sakri sebagai pentadabbur.
Pengerusi PPAT, Ridzuan Hashim berkata, Program World #QuranHour merupakan acara tahunan yang dilaksanakan perpustakaan negeri sejak beberapa tahun lalu dan pihaknya komited untuk meneruskan program itu untuk membudayakan Al-Quran dalam kehidupan masyarakat.
Menurutnya, selain PPAT, Program World #QuranHour 2023 turut diadakan serentak di lapan perpustakaan daerah dan perpustakaan desa yang terdapat di seluruh Terengganu dengan penyertaan lebih 800 orang.
"World #QuranHour merupakan satu kempen memfokuskan peningkatan interaksi individu dengan al-Quran melalui konsep baca, faham dan amal.
"Ia adalah usaha menjadikan nilai-nilai mulia dari al-Quran membentuk jiwa berbudi dan penyayang sehingga menjadi cara hidup seharian setiap insan.
"Tema memanusiakan ummah daripada Surah Al-Insan adalah usaha membentuk komitmen untuk melakukan transformasi diri ke arah lebih baik, penghayatan surah ini juga diharap dapat memberi persediaan fizikal, emosi, spiritual kepada masyarakat dalam menangani dunia," katanya pada Program World #QuranHour 2023 di PPAT, di sini pada Khamis.
Hadir sama Pengarah PPAT, Norliza Ismail.
Program World #QuranHour 2023 berlangsung di beberapa tempat di seluruh negara bermula 12 hingga 1 tengah Khamis dan pada tahun ini, Surah Al-Insan dipilih bertujuan untuk memanusiakan ummah dengan 11 karakter insan Al-Abrar (berkebajikan).
Mengulas lanjut, Ridzuan yang juga Timbalan Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri berharap setiap lapisan masyarakat dapat mengambil bahagian menjayakan Program World #QuranHour pada tahun akan datang.
Jelas beliau, kerajaan menyokong pelaksanaan kempen itu supaya semua dapat merasai kebersamaan dan kepentingan kehidupan berasaskan al-Quran.
"Selepas dianjurkan beberapa kali, program berskala besar ini memberi impak besar. Semoga segala usaha disumbangkan untuk memartabatkan al-Quran bagi melahirkan generasi mencintai al-Quran diberkati ALLAH SWT," katanya.
