PPB lantik Kuok Meng Xiong sebagai Pengarah Urusan Kumpulan

Business & Finance
1 Sep 2026 • 6:05 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PPB lantik Kuok Meng Xiong sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Image from: PPB lantik Kuok Meng Xiong sebagai Pengarah Urusan Kumpulan amree01/09/2026 - 18:05 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 1 Sept — Selepas hampir tempoh dua dekad menerajui PPB Group Berhad, Lim Soon Huat bersara daripada jawatan Pengarah Urusan Kumpulan (GMD) dan Lembaga Pengarah syarikat itu.

 

Perkembangan berkenaan membuka lembaran baharu bagi kumpulan itu apabila Datuk Kuok Meng Xiong secara rasmi mengambil alih kepimpinan syarikat tersebut berkuat kuasa 1 September 2026.

 

PPB dalam kenyataan berkata, pelantikan GMD itu menandakan bermulanya peralihan kepimpinan rasmi kumpulan, manakala Jeremy Goon turut mengambil alih peranan sebagai Pengarah Eksekutif.

 

"Jeremy akan bekerjasama rapat dengan Meng Xiong dan pasukan kepimpinan bagi menyokong operasi perniagaan serta memantapkan agenda pertumbuhan jangka panjang kumpulan ini," jelasnya.

 

Meng Xiong dalam pada itu berkata, PPB memiliki asas kukuh yang dibina sejak beberapa dekad lalu dan beliau komited untuk memperkukuh kekuatan tersebut sambil bekerjasama dengan kumpulan.

 

Beliau membawa pengalaman luas dalam perniagaan, operasi dan pelaburan, termasuk sebagai Pengarah Urusan Kuok Brothers Sdn Bhd serta Pengarah Ganti dalam Lembaga Pengarah Kuok (Singapore) Limited.

 

PPB Group_DagangNews2026

 

Sebelum ini, Meng Xiong memegang beberapa jawatan kanan dalam rangkaian perhotelan Shangri-La Group, dengan portfolio meliputi China dan Hong Kong, rantau Asia Selatan serta Asia Tengah.

 

"Beliau juga merupakan Pengasas dan Pengarah Urusan K3 Ventures, firma modal teroka berpangkalan di Singapura, dengan pengalaman pelaburan serta pembangunan pertumbuhan perniagaan," kata PPB.

 

Meng Xiong menggantikan Soon Huat yang bersara selepas hampir 20 tahun namun akan terus menyokong kumpulan itu dalam kapasiti penasihat Lembaga Pengarah, bagi memastikan kesinambungan peralihan.

 

PPB turut merakamkan penghargaan kepada Soon Huat atas kepimpinan dan sumbangannya kepada kumpulan sepanjang tempoh perkhidmatannya, ketika syarikat terus mengembangkan perniagaan teras.

 

Kumpulan itu yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia ketika ini terlibat dalam perniagaan bijirin dan agribisnes, produk pengguna, pameran serta pengedaran filem dan hartanah.

 

"Ia diperbadankan di Malaysia pada 1968 dengan mempunyai operasi di Malaysia, China, Vietnam, Thailand dan Singapura, serta lebih 6,000 pekerja dalam operasi di negara ini," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved