PPM nafi terlibat kes penganugerahan pingat di Perlis

LocalPolitics
9 Apr 2026 • 6:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
PPM dalam kenyataan memaklumkan pihaknya tidak mempunyai kaitan dengan penahanan seorang penjawat awam oleh SPRM berhubung dakwaan menerima rasuah bagi urusan penganugerahan pingat sebuah pertubuhan beruniform sukarela pada 2024.

SHAH ALAM - Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) menafikan sebarang penglibatan dalam kes rasuah berkaitan penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat di Perlis, sambil menegaskan cubaan mengaitkan organisasi itu dengan kegiatan menyalahi undang-undang adalah tidak berasas.

PPM dalam kenyataan memaklumkan pihaknya tidak mempunyai kaitan dengan penahanan seorang penjawat awam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan menerima rasuah bagi urusan penganugerahan pingat sebuah pertubuhan beruniform sukarela pada 2024.

Menurut PPM, istiadat penganugerahan bintang dan pingat yang diadakan di Perlis pada 6 Mac 2024 berlangsung tanpa pengetahuan, kebenaran atau kelulusan rasmi organisasi itu.

“PPM tidak pernah mengiktiraf, meluluskan atau terlibat dalam sebarang penganugerahan tersebut, dan ia tidak tersenarai dalam mana-mana rekod rasmi pingat PPM,” menurut kenyataan itu pada Khamis.

PPM turut menegaskan tiada sebarang senarai penerima pernah diluluskan, selain organisasi itu tidak pernah mengeluarkan bintang atau darjah yang menggunakan gelaran ‘Dato Setia Pengakap’.

Selain itu, PPM memaklumkan pihaknya tidak pernah memberi mandat atau kuasa kepada mana-mana pihak, termasuk entiti di peringkat negeri, untuk menganugerahkan sebarang bintang atau pingat bagi pihak organisasi.

“Sebarang penggunaan nama, lambang atau kaitan dengan PPM bagi tujuan penganugerahan tanpa kelulusan rasmi adalah satu penyalahgunaan yang serius dan boleh menjejaskan integriti organisasi,” ujarnya.

Dalam pada itu, PPM memberi amaran tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati terbabit dalam penganugerahan tidak sah itu, termasuk mereka yang memberi, menerima atau mempromosikan anugerah berkenaan.

Menurut kenyataan itu, tindakan berkenaan selaras dengan Seksyen 13 Akta Persekutuan Pengakap-Pengakap Malaysia (Perbadanan) 1968 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14 akta sama.

PPM turut menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan bebas, selain memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh sekiranya diperlukan.

“Kami kekal komited untuk mempertahankan integriti, kredibiliti dan nama baik organisasi serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku atau penyalahgunaan nama Pengakap Malaysia,” tambahnya.