Pengakap Malaysia nafi kaitan kes rasuah anugerah pingat

LocalPolitics
9 Apr 2026 • 6:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM)

KUALA LUMPUR – Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) tidak mempunyai kaitan dengan penahanan seorang penjawat awam berkaitan dakwaan menerima rasuah bagi urusan penganugerahan pingat sebuah pertubuhan beruniform sukarela pada tahun 2024.

PPM dalam kenyataan menegaskan, pihaknya memandang serius cubaan mengaitkan organisasi itu dengan kegiatan yang menyalahi undang-undang, khususnya melibatkan isu penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat di Perlis.

"PPM sama sekali tidak terlibat dalam kes yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penahanan penjawat awam berkenaan.

"PPM langsung tidak mempunyai kaitan dengan penahanan tersebut dan tidak pernah terlibat dalam sebarang urusan penganugerahan pingat seperti yang didakwa," kata kenyataan itu pada Khamis.

Mengulas lanjut, PPM menjelaskan bahawa istiadat penganugerahan bintang dan pingat yang dilaporkan berlangsung di Perlis pada 6 Mac 2024 dibuat tanpa pengetahuan, kebenaran atau kelulusan rasmi pihaknya.

"PPM tidak pernah mengiktiraf, meluluskan atau terlibat dalam sebarang penganugerahan tersebut dan ia tidak tersenarai dalam mana-mana rekod rasmi pingat PPM.

"Tiada sebarang senarai penerima pernah diluluskan oleh organisasi berkenaan, selain PPM tidak pernah mengeluarkan sebarang bintang atau darjah yang menggunakan gelaran ‘Dato’ Setia Pengakap'," jelasnya.

Katanya, PPM juga tidak pernah memberi mandat atau kuasa kepada mana-mana pihak, termasuk entiti di peringkat negeri, untuk menganugerahkan sebarang bintang atau pingat bagi pihak organisasi.

Sehubungan itu, PPM menegaskan bahawa sebarang penggunaan nama, lambang atau kaitan dengan organisasi tersebut tanpa kelulusan rasmi merupakan satu penyalahgunaan serius yang boleh menjejaskan integriti badan berkenaan.

Dalam pada itu, PPM memberi amaran tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang terlibat dalam penganugerahan tidak sah berkenaan.

"Tindakan boleh diambil selaras dengan Seksyen 13 Akta Persekutuan Pengakap-Pengakap Malaysia (Pemerbadanan) 1968.

"Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14 akta yang sama,” katanya.

Menurut kenyataan itu, PPM turut menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan bebas.

"PPM akan memberikan kerjasama penuh sekiranya diperlukan.

"Kami kekal komited untuk mempertahankan integriti, kredibiliti dan nama baik organisasi serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku atau penyalahgunaan nama Pengakap Malaysia," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang penjawat awam di Perlis direman lima hari bagi membantu siasatan kes menerima rasuah kira-kira RM200,000 berkaitan urusan mendapatkan pelbagai darjah kebesaran, pingat dan bintang sebuah pertubuhan.

Sumber, melaporkan perintah reman sehingga 13 April terhadap lelaki berusia 57 tahun itu dibenarkan Majistret Nurul Natasha Rizal selepas permohonan dibuat SPRM Perlis hari ini.

Lelaki itu ditahan jam 2.40 petang semalam selepas memberikan keterangan di Pejabat SPRM Perlis, di sini.

Lelaki terbabit disyaki menerima wang berkenaan pada 2024 ketika menyandang jawatan ketua pesuruhjaya pertubuhan berkenaan di Perlis sebagai balasan untuk beberapa individu mendapatkan bintang dan pingat pertubuhan berkenaan.