PPNM buat laporan SPRM, gesa siasat dana ratusan juta untuk masyarakat India

LocalPolitics
8 Jun 2026 • 3:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PPNM buat laporan SPRM, gesa siasat dana ratusan juta untuk masyarakat India
PPNM membuat laporan kepada SPRM di Putrajaya pada Isnin.

PUTRAJAYA – Pertubuhan Perpaduan Negara Malaysia (PPNM) pada Selasa membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menggesa siasatan dijalankan terhadap dakwaan kegagalan penyaluran dana berjumlah ratusan juta ringgit yang diperuntukkan untuk masyarakat India menerusi program Pemerkasaan Usahawan India (SEED) dan Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (SEDIC).

Pengerusinya, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz mendakwa peruntukan yang disalurkan semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) itu tidak diterima sepenuhnya oleh golongan sasar sehingga menimbulkan persoalan mengenai mekanisme agihan dan pemantauannya.

Menurut beliau, parti yang mewakili masyarakat India dalam kerajaan ketika itu perlu tampil memberikan penjelasan berhubung perkara berkenaan.

“Jika kita melihat kepada era pentadbiran BN, MIC merupakan parti yang mewakili masyarakat India dalam kerajaan. Sebab itu saya berpandangan MIC perlu bertanggungjawab menjelaskan perkara ini.

“Kalau MIC tidak menguruskan dana tersebut, mereka masih perlu menjelaskan kedudukan sebenar kerana mereka merupakan wakil masyarakat India ketika itu,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Selasa.

Beliau berkata, walaupun kerajaan dan kepimpinan negara telah bertukar, pihak yang diberikan amanah untuk mengurus serta menyalurkan dana berkenaan tetap perlu dipertanggungjawabkan.

“Persoalannya, ke mana perginya dana yang berjumlah ratusan juta ringgit itu? NGO mana yang menerima peruntukan tersebut?

“Hakikatnya, sehingga hari ini masih ramai dalam kalangan masyarakat India yang tidak menikmati manfaat yang sepatutnya diterima daripada dana berkenaan.

“Kerajaan telah menyediakan peruntukan untuk membantu masyarakat India, namun timbul persoalan sama ada ia benar-benar sampai kepada golongan yang disasarkan. Sebab itu kita minta SPRM menyiasat perkara ini,” katanya.

Pada 2014, kerajaan menubuhkan empat unit berasingan bagi menangani isu berkaitan masyarakat India Malaysia iaitu Pasukan Petugas Pelaksanaan Khas (SITF), Pelan Tindakan untuk Masa Depan Sekolah Tamil (PTST), Sekretariat Khas SEED dan unit khas SEDIC.

Sebagai rekod, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mendedahkan bahawa SEDIC menerima peruntukan berjumlah RM203.89 juta bagi tempoh 2014 hingga 2018.

Bagaimanapun, laporan itu turut mengenal pasti beberapa kelemahan dalam aspek pemantauan dan pengurusan program, termasuk ketiadaan pangkalan data yang lengkap untuk menilai pencapaian program serta penerima manfaat.

LKAN juga melaporkan terdapat kelulusan peruntukan kepada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan.

SEED dan SEDIC kemudiannya disatukan di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bagi memperkemaskan pelaksanaan program pembangunan sosioekonomi masyarakat India di negara ini.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved