
Pada minggu lepas, kami telah melaporkan bahawa ASUS akan membuka pra-tempahan untuk sebuah komputer riba ASUS ROG Flow Z13 Edisi Kojima Production pada hari ini, dan nampaknya Malaysia merupakan salah satu pasaran yang terpilih untuk kolaborasi ini.
Komputer riba ini adalah sebuah komputer riba gaming 2-dalam-1 dengan paparan skrin Nebula OLED bersaiz 13.4 inci dengan resolusi 2.5K dan dikuasakan cip pemprosesan AMD Ryzen AI Max+ 395 bersama-sama cip grafik AMD Radeon 8060S. Paparan komputer riba ini pula menggunakan skrin 13.4-inci 2.5K Nebula HDR yang menyokong kadar segar semula 180Hz.

Komputer riba ini juga hadir dengan rekaan visual unik bertemakan Homo Ludens, maskot syarikat Kojima Production dan akan disertakan bersama-sama dengan satu salinan percuma permainan Death Stranding 2: On The Beach.

Selain daripada itu, komputer riba ini juga akan hadir bersama-sama aksesori gaming tambahan seperti fon kepala ASUS ROG Delta II-KJP, tetikus ASUS ROG Keris II Origin-KJP dan pelapik tetikus bersaiz besar ASUS ROG Scabbard II XXL-KJP, semuanya juga hadir dengan tema Kojima Productions yang akan diperlihatkan kelak.

Pra-tempahan untuk komputer riba ini sudahpun mula dibuka melalui laman web ASUS ROG Malaysia pada harga permulaan RM17,999 untuk komputer riba sahaja dan pada harga RM19,889 jika anda memilih pakej yang menyertakan semua aksesori-aksesori tambahan yang dinyatakan tadi.


