
Seperti yang sedia maklum, AMD telah memperlihatkan peta pembangunan siri cip pemprosesan mereka dimana siri cip pemprosesan AMD Ryzen akan datang akan menggunakan teknologi Zen 6, yang dijangka akan diperkenalkan pada penghujung tahun ini untuk cip kelas desktop, manakala cip komputer riba dan APU mereka akan dilancarkan pada tahun 2027.
Terkini, seorang peniris maklumat berkaitan industri perkomputeran, Olrak29_ di X telah mengatakan bahawa Medusa Halo, cip pemprosesan APU kelas premium AMD akan menggunakan memori LPDDR6, iaitu memori baru generasi akan datang yang dijangka akan diperkenalkan secara lebih meluas bermula tahun hadapan.
LP6
Tidak banyak butiran lain yang diketahui mengenai cip pemprosesan tersebut, tetapi jangkaannya ialah AMD akan menggabungkan cip AMD Zen 6 tersebut dengan penggunaan cip pemprosesan grafik RDNA 5 akan datang, yang juga akan dilancarkan pada tahun 2027, iaitu senireka cip sama yang dijangka akan menguasakan bahagian pemprosesan grafik untuk konsol Sony PlayStation 6 dan Microsoft Xbox akan datang.
Cip pemprosesan Medusa Point juga akan diperlihatkan, tetapi jangkaannya ialah ia tidak akan hadir dengan spesifikasi berkuasa sama seperti Medusa Halo, seperti penggunaan memori berkelajuan lebih rendah (LPDDR5) dengan gabungan cip grafik sedia ada (RDNA 4 atau 3.5).
Jika benar, ini juga bermakna bahawa kita hanya akan melihat penawaran cip pemprosesan AMD Medusa Halo pada pertengahan ataupun penghujung tahun 2027. Sementara menunggunya, AMD sudahpun memperlihatkan kemaskini kepada penawaran APU AMD Zen 5, iaitu Gorgon Point (AMD Ryzen AI 400) yang menggabungkan kemampuan cip AMD Zen 5 dan juga AMD Radeon RDNA 3.5.


