Prabowo mohon maaf kepada Malaysia kerana masalah jerebu

16 Nov 2026 • 10:11 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Prabowo mohon maaf kepada Malaysia kerana masalah jerebu

JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto memohon maaf kepada Malaysia dan Singapura berhubung kejadian jerebu rentas sempadan akibat kebakaran hutan dan tanah yang menjejaskan kedua-dua negara itu.

“Saya ingin memohon maaf kepada negara jiran, Malaysia dan Singapura, apabila kita berdepan kebakaran hutan yang sangat besar sehingga mengambil masa hampir empat bulan untuk dikawal.

“Jerebu berkenaan turut merebak ke Malaysia dan Singapura,” katanya ketika berucap pada sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila, Filipina.

Kenyataan beliau itu dikongsi menerusi saluran YouTube rasmi Sekretariat Presiden Indonesia lewat semalam.

Prabowo berkata, kerajaan Indonesia berusaha mengawal kebakaran itu termasuk mengerahkan seramai 71,000 anggota bomba hutan.

Bagaimanapun, 16 anggota terkorban, manakala ramai lagi mengalami kecederaan. Dua helikopter turut musnah sepanjang operasi memadamkan kebakaran berkenaan.

Usaha memadamkan kebakaran itu turut berdepan cabaran berikutan fenomena El Nino yang disifatkan Prabowo sebagai paling buruk dalam tempoh 50 tahun.

Meskipun berdepan pelbagai cabaran dan kehilangan nyawa, beliau berkata, kebakaran berkenaan akhirnya berjaya dikawal secara berperingkat.

Mengenai tindakan penguatkuasaan, Prabowo berkata, kerajaan Indonesia telah menarik balik 17 konsesi syarikat, manakala 26 syarikat lagi sedang disiasat.

Katanya, sebanyak 11 syarikat telah didakwa di mahkamah, manakala 23 lagi berada dalam senarai untuk berdepan tindakan sama.

Secara keseluruhan, sebanyak 104 syarikat sedang disiasat pihak polis.

“Sekali lagi, bagi pihak kerajaan dan rakyat Indonesia, kami memohon maaf sekiranya tindakan kami telah menyebabkan penderitaan kepada rakyat Singapura dan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Sekretariat Presiden dalam satu kenyataan memaklumkan Indonesia turut merancang menubuhkan sebuah agensi baharu serta memperkenalkan beberapa program bagi memperkukuh usaha pencegahan kebakaran hutan secara lebih sistematik.

Pendekatan itu bertujuan beralih daripada kaedah yang hanya memberi tumpuan kepada pemadaman kebakaran dan usaha mengurangkan kesannya kepada langkah pencegahan lebih menyeluruh. – BERNAMA

The post Prabowo mohon maaf kepada Malaysia kerana masalah jerebu appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved