Rakan Suspek Serang Polis Guna Parang Mohon Maaf Kepada Rakyat Malaysia Dan Dedah Sesuatu

16 Nov 2026 • 3:40 PM MYT
Oh! Media
Oh! Media

Made in Malaysia by Malaysian.

Seorang lelaki warga Afrika tampil memohon maaf kepada rakyat Malaysia susulan kejadian serangan bersenjatakan parang yang menyebabkan seorang anggota polis putus pergelangan tangan kanan di Desa Aman Puri, Kepong, baru-baru ini.

Lelaki dikenali sebagai Chibuzo Williams itu turut mendakwa rakannya yang terlibat dalam kejadian berkenaan mengalami masalah kesihatan tertentu sehingga dipercayai mempengaruhi tindakannya ketika kejadian.

Menerusi hantaran di Facebook, Chibuzo mengakui memahami kemarahan dan kekecewaan rakyat Malaysia terhadap tindakan rakannya itu.

Kepada rakan-rakan kami di Malaysia, kami warga Afrika memahami betapa marah dan kecewanya anda semua terhadap tindakan saudara kami.

Bagi pihak warga Afrika, saya dengan ikhlas memohon maaf atas apa yang berlaku. Kami amat kesal dengan tindakannya.

Dakwa suspek ada masalah kesihatan

Image from: Rakan Suspek Serang Polis Guna Parang Mohon Maaf Kepada Rakyat Malaysia Dan Dedah Sesuatu

Menurut Chibuzo, rakannya itu didakwa mengalami gangguan kesihatan yang turut diketahui pihak polis.

Malah, dia menyifatkan suspek sebagai individu yang bukan secara semula jadinya suka menimbulkan masalah.

Namun, saya berharap anda semua memahami bahawa kawan kami dilaporkan mengalami gangguan kesihatan dan perkara itu juga diketahui pihak polis.

Mereka yang mengenalinya dengan rapat boleh mengesahkan bahawa dia bukan seorang yang secara semula jadinya suka menimbulkan masalah. Kami percaya sekiranya dia berada dalam keadaan fikiran yang waras, dia tidak akan melakukan perbuatan sedemikian.

Chibuzo turut mendakwa suspek merupakan seorang anak yatim piatu yang sudah kehilangan kedua-dua ibu bapanya.

Bagaimanapun, dia menegaskan kenyataan tersebut bukan bertujuan mempertahankan tindakan rakannya atau mengetepikan penderitaan mangsa.

Saya tidak menulis perkara ini untuk membenarkan tindakannya atau mengetepikan kesakitan dan kemarahan yang telah ditimbulkannya.

Saya hanya merayu agar masyarakat menunjukkan kefahaman, belas kasihan dan sedikit ihsan.

Netizen ingatkan jangan lupakan anggota polis yang cedera

Image from: Rakan Suspek Serang Polis Guna Parang Mohon Maaf Kepada Rakyat Malaysia Dan Dedah Sesuatu

Dalam hantaran berasingan, Chibuzo turut meluahkan kesedihan atas pemergian rakannya itu yang disifatkan sangat rapat dengannya seperti adik-beradik.

Saya masih sukar mempercayai bahawa kamu sudah tiada. Saya tidak pernah membayangkan perlu mengucapkan selamat tinggal dengan cara sebegini.

Kamu lebih daripada seorang sahabat, kamu seperti darah daging dan saudara saya sendiri. Kenangan kita tidak akan pernah dilupakan.

Namun begitu, permohonan maaf tersebut menerima pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang mengingatkan supaya nasib anggota polis yang menjadi mangsa serangan tidak dilupakan.

Seorang pengguna Facebook, Rltrl H Rk berkata, anggota polis terbabit juga mempunyai keluarga yang terpaksa menanggung penderitaan akibat kejadian tersebut.

Saya faham dia saudara kamu dan kehilangan seseorang amat menyakitkan. Tetapi jangan kita lupa bahawa anggota polis itu juga mempunyai keluarga yang sedang menderita akibat kejadian tersebut.

Seorang lelaki kehilangan tangannya ketika menjalankan tugas. Kita tidak sepatutnya mengagungkan keganasan atau melupakan mangsa. Setiap tindakan mempunyai akibat dan simpati saya juga bersama anggota polis yang cedera serta keluarganya.

Seorang lagi pengguna Facebook, Shahrul Shibba turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kenyataan berkenaan.

“Anggota polis putus tangan kerana kawan kamu. Dia juga mempunyai keluarga. Permohonan maaf patut dibuat terhadap keluarganya,” komennya.

Terdahulu, seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 26 tahun mengalami kecederaan parah selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang ketika menjalankan tugas di Desa Aman Puri, Kepong, pada 11 November lalu.

Mangsa yang bertugas di Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak mengalami kecederaan sehingga putus pergelangan tangan kanan.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Selayang sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pembedahan menyambung semula pergelangan tangan yang terputus itu.

Dalam kejadian sama, suspek turut dilaporkan bertindak agresif terhadap anggota bomba dan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ditembak mati oleh pihak polis.

Susulan itu, dua pakar dari HKL berjaya menjalankan pembedahan menyambung semula tangan anggota polis terbabit.

The post Rakan Suspek Serang Polis Guna Parang Mohon Maaf Kepada Rakyat Malaysia Dan Dedah Sesuatu appeared first on Oh! Media.
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved