Pramugari Indorent Sempat Muat Naik Video Terakhir, Maut Dalam Nahas Di Lebuhraya Solo–Ngawi

15 Feb 2026 • 1:22 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

JAKARTA – Seorang pramugari bas syarikat Indorent, Naura Rindha Cantika, 21, sempat memuat naik video terakhir di akaun TikTok miliknya sebelum maut dalam kemalangan ngeri di Lebuhraya Solo–Ngawi, pagi Khamis.

Dalam video tersebut, mangsa kelihatan ceria melakukan lipsync lagu pop Jawa berjudul Dadi Siji. Rakaman itu kini meraih lebih satu juta tontonan dan dibanjiri ribuan komen warganet yang meluahkan rasa sedih serta tidak menyangka pemergiannya kerana dia kelihatan sihat dan bersemangat ketika itu.

Cedera Kepala Parah

Naura maut selepas bas dua tingkat yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 566 A Lebuhraya Solo–Ngawi pada 12 Februari 2026.

Mangsa yang berasal dari Blitar dilaporkan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selepas bas tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik ke dalam parit di tepi lebuh raya.

Ketua Unit Penguatkuasaan Undang-Undang (Gakkum) Polis Ngawi, Iptu Agus Hariyanto berkata, mangsa mengalami hentakan kuat di kepala ketika kejadian.

“Korban mengalami cedera kepala akibat benturan keras saat kecelakaan,” katanya.

Jenazah Allahyarhamah dibawa ke bilik mayat RSUD dr Soeroto Ngawi sebelum dipulangkan ke kampung halaman untuk dikebumikan oleh keluarga.

Bas Rempuh Lori Sebelum Terbalik

Difahamkan, ketika kejadian bas dipandu oleh Achmad Fajrin sedang dalam perjalanan dari Jakarta menuju Malang.

Kenderaan itu dipercayai merempuh bahagian belakang sebuah lori kotak di hadapannya sebelum hilang kawalan, melanggar pembahagi jalan dan akhirnya terbalik ke dalam parit.

Selain Naura, beberapa penumpang dan kru lain turut mengalami kecederaan dan telah menerima rawatan di beberapa hospital sekitar Ngawi.

Naura dikenali sebagai pramugari bas Indorent yang mengendalikan perkhidmatan perjalanan antara bandar dengan kemudahan premium. Ketika insiden berlaku, dia sedang bertugas bagi laluan Jakarta–Malang.

Pemergian Allahyarhamah meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga, rakan sekerja serta penumpang yang pernah menerima khidmatnya.

Setakat ini, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan maut tersebut. – The Malaysian Update

The post Pramugari Indorent Sempat Muat Naik Video Terakhir, Maut Dalam Nahas Di Lebuhraya Solo–Ngawi appeared first on The Malaysian Update.