Prasarana akui tidak pasti bilakah LRT Shah Alam dapat mula beroperasi

LocalBusiness & Finance
10 Dec 2025 • 12:56 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Prasarana akui tidak pasti bilakah LRT Shah Alam dapat mula beroperasi
image is not available
haziq10/12/2025 - 12:56 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

SHAH ALAM 10 Dis – Prasarana Malaysia Bhd mengakui belum dapat memuktamadkan bilakah operasi LRT Shah Alam dapat dibuka kepada orang ramai. 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Amir Hamdan, berkata tarikh pelancaran rasmi hanya akan ditetapkan selepas keseluruhan proses T&C disiapkan sepenuhnya.

 

“Penting untuk kami jelaskan bahawa Prasarana telah mengambil tindakan sewajarnya dan melaksanakan langkah pembetulan seperti yang termaktub dalam kontrak bagi memastikan pematuhan dan akauntabiliti sentiasa terpelihara dalam pelaksanaan projek ini.

 

“Penetapan tarikh pembukaan laluan ini tertakluk kepada hasil fasa T&C,” katanya pada sesi taklimat perkembangan projek LRT Laluan Shah Alam.

 

Laluan LRT Shah Alam merupakan sebahagian daripada peluasan rangkaian LRT Lembah Klang, bertujuan meningkatkan hubungan pengangkutan awam serta mengurangkan kesesakan trafik di kawasan berkenaan.

 

Pada 17 November lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa tarikh pembukaan telah disemak semula kepada 31 Disember, tertakluk kepada keputusan ujian yang sedang dijalankan.

 

image is not available

 

Amir berkata Prasarana akan terus memberikan perkembangan berkala kepada orang ramai dan merancang mengadakan satu lagi sesi taklimat media pada pertengahan Januari 2026.

 

Dalam kenyataan media, Prasarana menjelaskan fasa T&C merangkumi beberapa proses utama termasuk ujian percubaan, fault-free run (FFR) dan operasi percubaan, sebelum dokumen teknikal boleh dikemukakan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk permohonan Lesen Pengendali Rel.

 

Prasarana menegaskan bahawa aspek keselamatan serta prestasi sistem kekal sebagai keutamaan dan tidak akan dikompromi.

 

Projek kini berada dalam fasa FFR, iaitu ujian integrasi penuh merangkumi sistem isyarat, komunikasi, tren LRV dan sistem kawalan. Sejak FFR bermula pada 26 Ogos, beberapa isu berkaitan keselamatan, operasi dan prestasi telah dikesan.

 

“Setakat ini, 11 percubaan FFR telah dijalankan, namun jarak perbatuan yang disyaratkan masih belum dicapai susulan beberapa isu teknikal dikenal pasti sepanjang proses tersebut,” menurut kenyataan itu.

 

Prasarana berkata dalam tempoh kira-kira dua bulan setengah, sebanyak 33 isu dikenal pasti, membabitkan ralat perisian dan gangguan sistem. Antara isu tersebut termasuk kegagalan tren berhenti tepat di platform sehingga menjejaskan fungsi pintu, tren tidak dapat bergerak secara automatik ke stesen seterusnya, serta ketidakselarasan kelajuan termasuk pergerakan kecil ketika tren sepatutnya pegun.

 

Bagi tren utama atau “Golden Train”, FFR mensyaratkan pemanduan tanpa henti sejauh 4,000 kilometer, manakala set tren lain perlu melengkapkan 3,000 kilometer, dan tren selebihnya 2,500 kilometer sebelum layak menerima kelulusan operasi.

 

Menurut Prasarana, kontraktor kini sedang meneliti semula semua isu berkenaan dan menjalankan kemas kini perisian bagi meningkatkan kestabilan, ketepatan dan kebolehpercayaan sistem. Semua penambahbaikan perlu siap dan disahkan sebelum projek boleh beralih ke peringkat seterusnya.

 

Masih terdapat beberapa siri ujian wajib sebelum laluan itu dibuka kepada orang ramai, termasuk ujian percubaan, operasi percubaan, penilaian kejuruteraan bebas serta kelulusan pengawal selia. - DagangNews.com

Terkini featured standard