
PETALING JAYA: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) meraih dua pengiktirafan pada Malaysia HR Tech & Innovation Conference & Expo 2026 menerusi anugerah HR Tech Organisation of the Year dan Early Tech HR Professional Award yang berlangsung baru-baru ini.
Prasarana dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya menerima anugerah HR Tech Organisation of the Year berdasarkan pencapaian melaksanakan transformasi latihan dan pembangunan modal insan melalui penggunaan teknologi.
Jelasnya, penggunaan teknologi itu memusatkan akses kepada pembelajaran, sumber pengetahuan, penilaian dan analitik serta menawarkan pembelajaran kendiri, mudah alih dan diperibadikan dengan sokongan teknologi Realiti Maya (VR) dan Realiti Terimbuh (AR).
“Platform berkenaan dikenali sebagai Prasarana Learning Management System (PALMS) iaitu sistem pembelajaran digital yang dibangunkan bagi menyampaikan latihan secara konsisten kepada lebih 13,000 warga kerja merangkumi operasi rel, bas, teknikal dan korporat di Lembah Klang serta Pulau Pinang,” jelasnya.
Pencapaian itu disusuli pengiktirafan di peringkat individu apabila kakitangan Jabatan Pembelajaran dan Pembangunan Prasarana, Muhammad Azfar Amran, 28, merangkul anugerah Early Tech HR Professional Award.
Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Prasarana, Dr. Harigaran Bharatham berkata, pengiktirafan itu mencerminkan usaha dan komitmen Prasarana dalam pembangunan modal insan serta keupayaan organisasi seiring perkembangan teknologi dan keperluan dunia pekerjaan.
“Pengiktirafan berprestij ini bukan sahaja mencerminkan pencapaian membanggakan Prasarana, malah mengangkat kedudukan organisasi setanding dengan konglomerat terkemuka negara, termasuk daripada sektor perbankan dan telekomunikasi,” katanya.
The post Prasarana raih dua pengiktirafan modal insan appeared first on Utusan Malaysia.




