Semakan melalui laman rasmi Sony Malaysia mendapati kamera FX2 Cinema kini boleh dipratempah di pasaran tempatan. Harga permulaan bagi kamera sahaja ialah RM13,399 manakala pakej dengan pemegang (handle) ditawarkan pada harga RM15,649.

Pratempahan disertakan dengan hadiah percuma berupa bateri Sony NP-FZ100 serta promosi pembelian tambahan bernilai RM300 bagi mana-mana lensa daripada siri Cinema Line yang terpilih termasuk model SEL1625G, SEL35F14GM, SEL50F14GM, SEL85F14GM2, SEL24F14GM dan SEL2450G. Tempoh pratempahan dibuka sehingga 27 Julai 2025 menerusi laman web rasmi Sony Malaysia.

Sony FX2 ialah kamera perfileman bingkai penuh yang mampu merakam imej pegun beresolusi tinggi. Antara ciri utama termasuk sensor bingkai penuh 33MP, pemproses dwi Bionz, serta cip AI Sony untuk pengecaman dan penjejakan subjek secara automatik. Sensor ini menawarkan julat dinamik lebih 15 hentian dan menyokong rakaman video 4K30p 4:2:2 10-bit dalam mod bingkai penuh. Bagaimanapun, rakaman 4K60p hanya boleh dilakukan dalam mod Super 35 yang dipangkas.

Kamera ini juga menyokong rakaman sehingga 120FPS dalam resolusi FHD bagi menghasilkan rakaman gerak perlahan 5X. Ia dilengkapi antaramuka pengguna yang diinspirasikan daripada kamera Sony Venice, serta menyokong ISO 800/4000 dalam Sony S-Log dan output RAW 16-bit melalui HDMI. Selain itu, profil warna S-Cinetone turut ditawarkan bersama pelbagai tetapan Picture Profiles dan Creative Looks.

Dengan kipas terbina, Sony FX2 mampu merakam sehingga 13 jam tanpa henti selagi disambungkan kepada sumber kuasa dan menggunakan kad atau SSD yang mencukupi.

