
ART tersebut dijangka tiba di Kuching pada penghujung tahun ini
Premier Sarawak Dedah Reka Bentuk Terkini ART, Diinspirasi Dari Bendera Sarawak. Rekaan akhir bagi Kenderaan Autonomous Rapid Transit (ART), yang akan menjadi sistem pengangkutan awam moden di Kuching, telah diperkenalkan sempena Sambutan Hari Sarawak 2024 yang berlangsung malam tadi.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata bahawa ART yang menggunakan hidrogen akan membawa transformasi kepada sistem pengangkutan awam di Sarawak, yang akan dimulakan di Kuching melalui pelaksanaan projek Kuching Urban Transportation System (KUTS).

Premier Sarawak Turut Umumkan Laluan ART Baharu dari Bintulu ke Samalaju
“Pada masa ini, Sarawak Metro Sdn Bhd sedang berusaha gigih menyediakan laluan khusus, stesen henti dan depoh untuk ART di Kuching dan Kota Samarahan.
“Dan Insya-Allah, seperti yang saya katakan sebelum ini, ia akan diperluas dari Bintulu terus ke Kidurong dan Samalaju,” katanya ketika menyampaikan ucapan di majlis tersebut yang diadakan di Lapangan Terbang Lama Bintulu di sini.
Rekaan akhir ART menunjukkan ia terdiri daripada empat warna—hitam, kuning, merah, dan putih, hampir menyerupai bendera Sarawak.
Beliau juga menyatakan bahawa beberapa rekaan telah dicadangkan oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) dan Sarawak Metro, tetapi hanya satu yang dipilih untuk mencerminkan aspirasi dan kehebatan Sarawak.
Pada masa ini, beliau berkata kenderaan ART sedang dihasilkan di China.

