![Image from: Premis Di Bukit Payong Disewa Untuk Pendidikan Kanak-kanak Etnik Rohingya Sejak 2020 – MDM [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/06/Premis-Di-Bukit-Payong-Disewa-Untuk-Pendidikan-Kanak-kanak-Etnik-Rohingya-Sejak-2020--800x467.jpg)
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Majlis Daerah Marang (MDM) mengesahkan telah menyewakan premis di kompleks MDM Kampung Telaga Mengkudu, dekat Bukit Payong, Marang, Terengganu untuk dijadikan pusat pendidikan kanak-kanak etnik Rohingya.
Keputusan itu diambil atas prinsip kemanusiaan.
Kompleks MDM Disewa Untuk Dijadikan Pusat Pendidikan Anak Etnik Rohingya Sejak 2020
Menurut MDM, premis yang dijadikan pusat pendidikan itu disewakan kepada Persatuan Jaringan Islam Global Masa Depan yang merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) sejak tahun 2020.
Sebelum ini, tular di media sosial apabila seorang lelaki berkongsi video tentang unit di tingkat dua kompleks MDM yang dijadikan pusat persekolahan bagi anak-anak etnik Rohingya.
Malah dia juga mempersoalkan bagaimana golongan itu boleh menyewa premis berkenaan.
Penyewaan Premis Berserta Syarat & Peraturan Yang Perlu Dipatuhi – MDM
Bagaimanapun jelas Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam MDM, penyewaan premis di tingkat satu itu diluluskan mengikut prosedur, syarat dan peraturan yang sudah ditetapkan oleh pihak majlis.
NGO Terima Dana Dari UNHCR Untuk Laksana Program Pendidikan Buat Anak Pelarian Rohingya
Tambahnya, penggunaan premis adalah untuk tujuan pendidikan dan pelaksanaan aktiviti kebajikan berasaskan kemanusiaan sepanjang tempoh ia disewakan.
“NGO itu menerima sokongan dana daripada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian (UNHCR) bagi pelaksanaan program pendidikan asas kepada kanak kanak pelarian yang tidak mempunyai akses kepada sistem pendidikan formal.
“Aktiviti dilaksanakan memberi fokus kepada pembelajaran asas, pembangunan sahsiah dan kesejahteraan kanak-kanak selaras dengan prinsip kemanusiaan sejagat,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebook hari ini (16 Jun).
Penyewaan Premis Untuk Pendidikan Tak Libatkan Pengiktirafan Status Kenegaraan
Walaupun perkongsian yang tular itu telah mencetuskan perdebatan ramai, namun MDM dalam kenyataan sama menegaskan bahawa penyewaan premis tidak membabitkan sebarang pengiktirafan status kenegaraan, hak bermastautin atau pemberian keistimewaan khas kepada mana-mana individu.
Mengulas lanjut, penyewaan tersebut merupakan urusan pengurusan aset majlis yang dilaksanakan berdasarkan fungsi dan bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta tertakluk undang-undang dan peraturan berkuat kuasa.
Sepanjang tempoh penyewaan sejak 2020, MDM sentiasa memantau premis itu bagi memastikan aktiviti dilaksanakan mematuhi syarat ditetapkan. Setakat ini, MDM tidak menerima sebarang aduan rasmi berkaitan pelanggaran syarat penyewaan yang boleh menjejaskan keselamatan awam ketenteraman dan keharmonian masyarakat setempat.
Majlis Daerah Marang (MDM).
Sentiasa Pastikan Aset Milik Majlis Digunakan Secara Berhemah – MDM
Tambah MDM lagi pihaknya sentiasa mengambil kira kepentingan masyarakat setempat dalam setiap keputusan yang dibuat dan komited untuk memastikan semua aset milik majlis diurus secara berhemah, telus dan bertanggungjawab.
Baca Artikel Berkaitan: Ini Sejarah & Info Ringkas Tentang Etnik Rohingya
Baca Artikel Berkaitan: Flat Haram Di Hulu Langat Akan Dirobohkan Mengikut Undang-Undang – PDT Hulu Langat





