Premium Makin Naik Tapi Perkhidmatan Tak Memuaskan, Pemegang Polisi Persoal Nilai Sebenar Insurans

Business & FinancePersonal Finance
2 Oct 2026 • 1:42 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KUALA LUMPUR - Bayaran premium insurans perubatan yang setia dilunaskan setiap bulan seharusnya mampu memberi ketenangan kepada pemegang polisi, namun lain pula yang nampaknya berlaku.

Peningkatan kos, tuntutan yang tidak diluluskan dan bayaran tambahan ketika mendapatkan rawatan kini menimbulkan persoalan mengenai nilai sebenar perlindungan diterima.

Sebuah tinjauan baru-baru ini mendapati, 34.6 peratus responden tidak lagi merasakan pelan insurans perubatan masing-masing berbaloi untuk diteruskan, dengan majoriti menjadikan kenaikan premium dan kemampuan kewangan sebagai faktor utama yang mendorong mereka mempertimbangkan untuk membatalkan polisi dimiliki.

Malah, tahap kepuasan dilihat semakin menurun apabila jumlah premium terus meningkat.

Bagi pemegang polisi yang membayar kurang RM150 sebulan, 74 peratus menyatakan mereka berpuas hati dengan perlindungan diterima.

Namun, kadar kepuasan itu menurun kepada antara 33 hingga 37 peratus dalam kalangan mereka yang membayar premium melebihi RM300 sebulan, khususnya selepas berdepan masalah berkaitan tuntutan.

“Premium naik setiap tahun, tetapi perlindungan masih macam sama,” keluh seorang responden.

Dalam tinjauan membabitkan 815 maklum balas sah itu, 64.7 peratus responden berkata, mereka masih perlu mengeluarkan wang sendiri ketika membayar bil hospital terbaharu, termasuk sebahagian yang terpaksa menanggung lebih 20 peratus daripada keseluruhan bil.

Lebih membimbangkan, 71 peratus responden berkata mereka perlu membayar kos tambahan bagi ubat yang dipreskripsi doktor kerana ia tidak dilindungi sepenuhnya oleh polisi.

Lebih ramai warga emas mungkin terpaksa melepaskan polisi masing-masing kerana premium yang meningkat
Lebih ramai warga emas mungkin terpaksa melepaskan polisi masing-masing kerana premium yang meningkat

Daripada jumlah itu, 284 responden berdepan masalah apabila perlindungan ditawarkan hanya meliputi ubat generik berbanding ubat berjenama, manakala 230 lagi berkata, tuntutan ubat ditolak selepas ia dikategorikan sebagai makanan tambahan.

Seramai 225 responden pula berkata bekalan ubat yang diluluskan lebih pendek berbanding tempoh rawatan ditetapkan doktor.

“Anak saya sakit dan saya masih perlu membayar bersama bil perubatan walaupun sudah membayar premium bulanan. Kemudian premium dinaikkan pula,” kata seorang responden.

Selain kos, isu tuntutan turut menjadi kebimbangan pemegang polisi, malah hampir 30 peratus responden berkata, mereka pernah mengalami tuntutan ditolak sama ada sebahagian atau sepenuhnya dalam tempoh dua tahun lalu.

Daripada kumpulan itu, 24 peratus berkata alasan penolakan tuntutan tidak diterangkan dengan jelas.

Kadar kelulusan tuntutan juga menunjukkan perbezaan mengikut jumlah premium. 

Bagi polisi dengan premium antara RM300 hingga RM500 sebulan, kadar kelulusan dilaporkan sebanyak 85.7 peratus, manakala bagi polisi melebihi RM500, kadar itu turun kepada 81 peratus.

“Bila hendak membuat tuntutan, baru tahu banyak perkara sebenarnya tidak dilindungi,” kata seorang lagi responden.

Dalam masa sama, perubahan panel hospital turut menimbulkan masalah kepada pemegang polisi yang sudah biasa mendapatkan rawatan daripada doktor tertentu.

Sebanyak 31.7 peratus responden berkata mereka tidak lagi dapat mendapatkan rawatan daripada doktor biasa selepas hospital berkenaan dikeluarkan daripada panel syarikat insurans, manakala 28.3 peratus tidak mengetahui perkara itu boleh berlaku.

Sebanyak 31 peratus pula mengakui tidak pasti sama ada terma polisi mereka berubah dalam tempoh dua tahun lalu.

Keadaan itu menunjukkan sebahagian pemegang polisi mungkin tidak benar-benar memahami perubahan terhadap perlindungan yang mereka bayar setiap bulan.

“Setiap bulan saya bayar, tetapi sebenarnya saya sendiri tidak begitu jelas mengenai perlindungan insurans perubatan saya,” kata seorang responden.

Isu kelulusan surat jaminan atau Guaranteed Letter (GL) turut menjadi perhatian apabila lebih separuh responden berkata mereka perlu menunggu sekurang-kurangnya tiga hari bekerja, manakala 23.1 peratus menunggu lebih lima hari.

Kelewatan antara hospital dan syarikat insurans dilaporkan turut menyebabkan sebahagian pesakit terpaksa menangguhkan atau menjadualkan semula prosedur rawatan.

Dalam pada itu, hampir 70 peratus responden berkata mereka pernah berdepan beberapa bentuk had terhadap pelan rawatan mereka.

Daripada jumlah itu, 49.6 peratus berkata sekatan dikenakan tanpa persetujuan doktor, manakala 10.6 peratus berkata doktor mereka secara jelas tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan.

Sebanyak 25 peratus pula berkata sekatan itu memberi kesan kepada hasil rawatan atau keselesaan mereka.

“Bayar lebih setiap tahun untuk perkhidmatan yang semakin teruk, apa gunanya?” kata seorang responden.

Lebih 340,000 polisi insurans perubatan dan takaful pula dilaporkan dibatalkan atau diserahkan antara Januari 2024 hingga Jun 2025, menunjukkan tekanan kos bukan lagi sekadar kebimbangan individu tetapi semakin menjadi isu lebih luas dalam akses kepada perlindungan kesihatan.

Bagi sebahagian pemegang polisi, persoalannya bukan lagi sekadar berapa tinggi premium yang perlu dibayar, tetapi sejauh mana perlindungan itu benar-benar dapat membantu apabila mereka atau ahli keluarga jatuh sakit.

“Lebih ramai warga emas mungkin melepaskan perlindungan insurans kerana kenaikan premium setiap tahun. Akhirnya kerajaan pula perlu menanggung kos rawatan mereka di hospital kerajaan,” kata seorang responden.

Situasi itu memberi gambaran mengenai cabaran yang dihadapi rakyat dalam mengekalkan perlindungan perubatan pada ketika kos rawatan dan premium terus menjadi pertimbangan kewangan isi rumah.

Bagi pemegang polisi, kemampuan untuk terus membayar premium perlu berjalan seiring dengan kefahaman yang jelas mengenai manfaat, pengecualian, had perlindungan dan proses tuntutan supaya perlindungan yang dibeli benar-benar dapat digunakan apabila diperlukan. - Getaran, 2 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved