Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Berita pemergian pemilik Secangkir Kafe, Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan serta suami, dan anak lelakinya dalam kemalangan melibatkan 11 buah kenderaan di Kilometer 110.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 arah timur pada 31 Ogos lalu nyata menimbulkan sebak ramai.
Lebih menyedihkan apabila abang kepada Nur Atiqah Sofiya mengumumkan yang operasi Secangkir Kafe akan ditamatkan pada hari ini (4 September) kerana tidak mempunyai asbab yang kukuh untuk meneruskannya memandangkan tiada waris yang akan meneruskan legasi kafe itu nanti.
Baca Artikel Berkaitan: Kemalangan Lori Tangki Di LPT: Tiada Legasi Untuk Teruskan Bisnes, Operasi Secangkir Cafe Ditamatkan Hari Ini, 4 Sept
Di sebalik keputusan itu, timbul persoalan bagaimana dengan perniagaan lain yang turut berdepan perkara sama namun bercadang untuk meneruskan perjalanan syarikat.
Terdapat pelbagai pendapat dari warganet mengenai situasi ini. Antara yang menjadi perhatian adalah mengaitkan ia dengan insurans Keyman.
Apa itu insurans Keyman? Bagaimana ia membantu sesebuah perniagaan jika berlaku perkara yang tak dijangka?
Apa Itu Insurans Keyman? Bagaimana Ia Jadi Penyelamat Jika Orang Penting Syarikat Meninggal Dunia
Menurut seorang pengurus kumpulan Great Eastern Takaful, Nor Faridah Ahmad Badaruddin, Keyman Policy (Polisi Kunci Utama) boleh bertindak sebagai penyelamat perniagaan jika pemilik atau orang penting dalam syarikat meninggal dunia.
Berdasarkan laman Abang Insuran, Keyman Insurance (Insurans Kunci Utama) adalah polisi insurans hayat atau takaful yang diambil oleh syarikat ke atas individu penting dalam organisasi tersebut.
Jelas laman itu, caruman polisi tersebut dibayar oleh syarikat dan syarikat jugalah yang akan menerima (pampasan) payout jika dilanda musibah.

Siapa Keyman Yang Dimaksudkan?
Memetik laman Life Takaful, Keyman (orang kunci) secara amnya merujuk kepada individu penting yang memegang ‘nyawa’ atau arah tuju syarikat.
Pendek kata, kalau tiada Keyman ini, bisnes boleh goyang atau terus lumpuh. Ini kerana Keyman berfungsi sebagai otak dan nadi syarikat.
Keyman Bukan Sekadar Untuk Owner Tetapi Orang Penting Syarikat
Keyman bukan hanya sekadar merujuk kepada pemilik perniagaan tersebut.
Namun ia juga boleh jadi individu penting seperti pakar teknikal yang memegang atau mengetahui produk dan resipi rahsia syarikat.
Ia juga boleh jadi seorang jurujual yang berjaya membawa masuk 50% sehingga 80% jualan kepada syarikat.

Apa Jadi Jika Keyman ‘Hilang’ Dari Syarikat?
Jelas laman tersebut, kehilangan Keyman bukan hanya sekadar merujuk kepada kematian, namun ia merangkumi tiga risiko utama iaitu:
- Kematian
- Hilang upaya kekal (TPD)
- Penyakit kritikal
Kehilangan Keyman disebabkan tiga risiko tersebut boleh menyebabkan syarikat berhadapan dengan situasi berikut:
#1 Gangguan Kepada Operasi Dan Kewangan
Bayangkan siapa yang akan tandatangan cek? Siapa yang tahu tentang password sistem? Keadaan ini boleh menyebabkan operasi sesebuah perniagaan terhenti serta-merta
#2 Pemiutang Akan Hilang Keyakinan
Pemiutang seperti bank yang memberi pinjaman kepada syarikat kebiasaannya mempercayai kredibiliti Keyman itu sendiri.
Cuba anda bayangkan jika Keyman meninggal dunia? Bank berhak membekukan fasiliti kredit atau memanggil balik pinjaman (loan recall) dek kerana risiko bisnes yang semakin meningkat.
#3 Risiko Hidup (Living Perils)
Ini juga antara keadaan yang buat ramai orang terlepas pandang. Bayangkan jika Keyman itu diserang sakit strok atau kanser yang memerlukan dia berehat setahun?
Keadaan ini boleh menyebabkan syarikat mengalami kerugian berganda di mana kehilangan tenaga kerja produktif serta terpaksa membayar gaji dan saguhati atas dasar kemanusiaan.

Bagaimana Insurans Keyman Berfungsi?
Jadi, bagaimana insurans Keyman berfungsi? Polisi ini boleh dianggap sebagai penyelamat.
Jelas laman Life Takaful, pengambilan insurans ini boleh membantu menyelamatkan syarikat dengan cara:
#1 Beri Suntikan Tunai Segera (Cash Injection)
Pampasan yang diterima boleh bertindak sebagai wang kecemasan. Duit yang diterima boleh digunakan untuk membayar gaji pekerja, sewa atau overhead ketika syarikat berhadapan dengan situasi genting.
#2 Boleh Tanggung Kos Cari Pengganti (Recruitment Cost)
Pampasan yang diterima oleh syarikat menerusi insurans Keyman boleh digunakan untuk mencari pengganti Keyman.
Yelah, kos nak mencari pengganti yang hebat seperti mereka bukan murah. Syarikat perlu membayar kos seperti kos latihan atau mungkin perlu membuat bayaran gaji yang lebih tinggi untuk menarik bakat baru dari luar.
Pampasan yang diperolehi boleh menampung kos sebegini tanpa mengganggu aliran tunai operasi.
#3 Boleh Bantu Selesaikan Hutang Perniagaan
Pampasan yang diterima juga boleh digunakan untuk membantu menyelesaikan hutang perniagaan.
Ini kerana hutang bisnes kebiasaannya dijamin oleh Pengarah sebagai personal guarantee.
Penerimaan pampasan ini sekaligus dapat melindungi aset peribadi waris Keyman dari disita bank jika tidak mampu membayar hutang tersebut.
#4 Perlindungan Nilai Saham & Perjanjian Jual Beli (Buy-Sell Agreement)
Kebiasaannya, insurans Keyman digabungkan dengan Perjanjian Jual Beli Saham (Buy-Sell Agreement).
Ada perniagaan yang dijalankan bersama rakan kongsi. Apabila rakan kongsi meninggal, saham yang dimiliki boleh jatuh ke tangan waris yang mungkin tidak tahu mengenai selok belok syarikat.
Jadi, dengan adanya insurans ini, rakan kongsi yang masih ada boleh menggunakan wang pampasan yang diterima untuk membeli saham tersebut daripada waris.

Kesimpulannya, insurans Keyman ini bukan sekadar penyelamat perniagaan namun ia juga sebagai persediaan buat syarikat jika berlaku perkara yang tidak dijangka khususnya kepada orang penting syarikat.
Bukan itu sahaja, pengambilan insurans Keyman oleh pemilik bisnes boleh dijadikan sebagai Tax Deductible (perbelanjaan yang dibenarkan) untuk kurangkan cukai korporat syarikat.
Tapi syaratnya, polisi yang diambil tidak boleh mempunyai unsur simpanan atau pelaburan (term insurance).
Banyak je bank atau syarikat insurans yang menawarkan perkhidmatan insurans Keyman ini antaranya seperti Maybank, Affin Bank, UOB Malaysia, Hong Leong Bank, AIA, Prudential BSN Takaful dan sebagainya.
Jadi buat pemilik perniagaan tidak kiralah Sdn Bhd atau Enterprise, anda mungkin sudah boleh mempertimbangkan pengambilan insurans Keyman ini.
Baca Artikel Berkaitan: Pastikan Polisi Insurans Kereta Korang Ada 3 Benda Ni Kalau Nak Buat Tuntutan Jika Kena Banjir Di Thailand [Video]
Baca Artikel Berkaitan: King Myvi Paling Banyak Kemalangan & Claim Insurans Untuk Tahun 2024





