Premium Meningkat, Manfaat Berkurangan: Syarikat Insurans Kaut Untung Atas Angin? 

LocalBusiness & Finance
27 Feb 2025 • 2:33 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kos rawatan semakin meningkat tapi ada syarikat insurans yang didakwa mengurangkan manfaat perlindungan - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Satu ketika dahulu, kad perubatan dan perlindungan ditawarkan syarikat insurans dianggap satu keperluan, apatah lagi apabila kos rawatan semakin meningkat. 

Lambakan pesakit di hospital kerajaan dan caj tinggi dikenakan pusat perubatan swasta membuatkan kad perubatan laris bak pisang goreng panas. 

Penggunaannya begitu meluas sehinggakan adalah satu ‘keajaiban’ jika ada mana-mana individu ‘hidup’ tanpa kad terbabit. 

Kusangkakan panas hingga ke petang, namun rupanya hujan di tengah hari apabila kemudahan perubatan yang disangkakan terjamin dengan kad itu malangnya tanpa diduga, menjerat diri. 

Bayar Lebih, Manfaat Kurang

Secara diam-diam, syarikat insurans menaikkan jumlah premium tetapi pada masa sama, mengurangkan perlindungan.

Wang hasil titik peluh yang dilaburkan berakhir dengan pulangan tidak seberapa apabila manfaat dijanjikan syarikat insurans semakin berkurangan. 

Individu yang tidak memiliki insurans pula keadaannya jauh lebih parah apabila sukar mendapatkan rawatan asas, dek kos yang semakin melambung. 

Apabila senario ini berlaku, orang ramai terus menuding jari kepada pengurusan hospital dan mendakwa mereka adalah dalang yang bertanggungjawab di atas semua kenaikan. 

Ketika ini, blame game mula mengambil tempat, kerana doktor dan pakar mendakwa, segalanya berpunca daripada syarikat insurans. 

image is not available
Rawatan di pusat perubatan swasta semakin sukar diperoleh kerana syarikat insurans mengehadkan perlindungan - Gambar hiasan

Sumber memberitahu Getaran, hospital atau pusat perubatan swasta hakikatnya bergantung kepada kecanggihan teknologi rawatan, pakar perubatan dan ubat berkualiti tinggi untuk memberikan rawatan terbaik. 

Namun, semuanya menjadi sukar untuk diperoleh rakyat kerana syarikaf insurans bertindak mengehadkan perlindungan untuk perkhidmatan ini, tetapi pada masa sama terus menaikkan premium.

Sumber yang juga pegawai di sebuah hospital berkata, harga dan caj dikenakan tidak ditetapkan sesuka hati, khususnya di pusat perubatan swasta. 

“Kami melabur dalam teknologi canggih, doktor pakar, dan penyelidikan untuk memastikan pesakit mendapat rawatan terbaik. 

“Tetapi syarikat insurans mengurangkan perlindungan, menyebabkan pesakit semakin sukar mendapatkan rawatan walaupun mereka mempunyai insurans,” katanya.

Beliau berkata, keadaan pastinya lebih parah untuk pesakit yang tidak mempunyai insurans. 

“Dengan kos perubatan yang semakin tinggi, ramai rakyat Malaysia terpaksa menangguhkan rawatan atau memilih rawatan berkualiti rendah. 

“Bagi mereka yang memerlukan prosedur kecemasan, beban kewangan boleh menjadi sangat berat,” katanya. 

Sistem Tak Adil

Seorang pesakit kronik ketika ditemui berkata, rawatan semakin sukar diperoleh walaupun mereka memiliki kad perubatan dan dilindungi oleh insurans. 

Dakwanya, semua ini berlaku akibat perubahan demi perubahan yang dilaksanakan syarikat insurans terlibat.

“Kalau saya yang ada insurans pun susah nak dapatkan rawatan, bayangkan mereka yang tiada langsung insurans.

“Pergi hospital sekali pun boleh habis semua simpanan. Sistem ini memang tak adil,” keluhnya.

Naikkan Premium Tanpa Notis

Secara dasar, sektor insurans tidak akan mengalami sebarang kerugian, malah sebaliknya kerana saban tahun, keuntungan yang terhasil mencecah berbilion ringgit.

Ketika pesakit bergelut dengan kos perubatan, syarikat terus menaikkan premium tanpa sebarang rasa bersalah atau alasan yang jelas. 

Seorang pemegang polisi ketika ditemui memberitahu, dia terkejut apabila dimaklumkan premium bulanan dinaikkan tanpa sebarang notis. 

“Premium insurans saya naik dari RM260 ke RM313 tanpa sebarang notis. Naik 20 peratus begitu saja! Mana keadilannya?

“Bukan saya sahaja yang kena begini. Ramai rakan-rakan lain pun terkena. Apa yang syarikat insurans cuba lakukan? Sesuka hati sahaja mereka naikkan premium,” katanya, kesal. 

Pemerhatian Getaran mendapati, semakin ramai pemegang polisi terpaksa memilih pelan perlindungan lebih murah atau lebih buruk, membatalkan polisi dimiliki kerana tidak mampu berdepan kenaikan premium yang semakin melampau. 

image is not available
Kenaikan melampau premium insurans menyebabkan ramai pemegang polisi berdepan masalah kewangan - Gambar hiasan

Buat sejumlah besar rakyat, insurans seharusnya berperanan sebagai jaring keselamatan namun ia kini bertukar menjadi beban kewangan tambahan. 

Dengan premium yang meningkat dan manfaat yang semakin berkurangan, penjagaan kesihatan swasta semakin mahal dan tidak mampu dimiliki sementara hospital kerajaan pula semakin sesak.

Seorang lagi pemegang polisi memberitahu, dia mengambil pelan yang dicadangkan kerana tidak mahu terbeban dengan kos rawatan.

“Tapi sekarang, saya bayar lebih mahal dan dapat perlindungan yang lebih rendah. Apa gunanya ada insurans kalau tetap susah nak dapat rawatan,” katanya. 

Penentu Rawatan, Doktor Atau Insurans? 

Logik akal, jenis dan bentuk rawatan seharusnya ditentukan oleh doktor yang merawat, kerana beliau pastinya lebih arif dengan keadaan atau tahap kesihatan pesakit. 

Namun, hakikat sebaliknya berlaku kerana penentuan jenis rawatan kini telah diambil alih syarikat insurans yang menolak perlindungan untuk ujian diagnostik canggih dan mengehadkan tempoh pesakit di hospital, demi mengaut keuntungan.

Seorang pesakit yang hanya mahu dikenali sebagai Rita ketika ditemui Getaran, sempat meluahkan kekecewaannya. 

“Saya bayar ribuan ringgit setiap tahun untuk insurans, tapi syarikat insurans yang tentukan rawatan saya. Bukan doktor yang merawat. This is purely nonsense,” katanya. - Getaran, 27 Februari 2025