Premium tanah KLSCAH RM1,000: Ahli Parlimen BN kemuka lima tuntutan kepada Hannah

LocalPolitics
17 Nov 2026 • 4:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Premium tanah KLSCAH RM1,000: Ahli Parlimen BN kemuka lima tuntutan kepada Hannah
Wakil rakyat BN mengemukakan lima tuntutan kepada Hannah supaya menjelaskan keputusan meluluskan pembaharuan pajakan bagi tapak KLSCAH.

SHAH ALAM - Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) mengemukakan lima tuntutan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh supaya menjelaskan keputusan meluluskan pembaharuan pajakan bagi tapak Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).

Sekretariat Ahli Parlimen BN berkata, keputusan Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan yang membenarkan kadar premium nominal hanya RM1,000 merupakan tindakan mengejutkan dan sukar diterima akal.

"Kami menuntut pendedahan formula pengiraan rasmi, pekeliling, asas penilaian serta minit kelulusan yang membolehkan nilai RM4.67 juta dikurangkan kepada RM1,000 selepas perubahan kegunaan tanah daripada komersial kepada institusi.

"Kerjaaan perlu memberi jaminan tiada aktiviti komersial berorientasikan keuntungan menerusi penyewaan dewan dan ruang bangunan kepada pihak luar pada kadar komersial, selain memasukkan klausa menarik balik kelulusan sekiranya syarat dilanggar," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut dilapor menjelaskan, kadar berkenaan mengambil kira persetujuan KLSCAH menukar status tanah kepada kegunaan institusi, sekali gus melepaskan potensi pembangunan komersial seperti kondominium dan pusat beli-belah.

Menurutnya, penetapan premium tanah perlu mengambil kira syarat serta potensi kegunaan tanah berkenaan dan bukannya semata-mata berdasarkan nilai pembangunan komersial.

Dalam pada itu, BN turut menuntut kerajaan membuktikan insentif sama diberi kepada pertubuhan kebajikan, rumah ibadat serta badan warisan kaum lain di Wilayah Persekutuan bagi mengelakkan layanan berbeza sekiranya status warisan dan institusi menjadi ukuran mutlak untuk mendapat kadar berkenaan.

"Kerajaan juga perlu menjelaskan rasional kelulusan tempoh pajakan maksimum 99 tahun sedangkan pajakan asal tapak itu masih berbaki lapan tahun, termasuk syarat penggunaan dan penyewaan serta mekanisme pemantauan pematuhan.

"Jelaskan maksud tanah yang dikatakan tidak lagi mempunyai nilai pembangunan komersial selepas ditukar kepada kegunaan institusi, termasuk asas penilaian rasmi yang digunakan bagi menetapkan premium RM1,000," ujarnya.

BN menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dalam soal integriti pengurusan aset dan hasil negara.

"Menteri bertanggungjawab mesti menjawab semua persoalan ini secara tuntas dan bersedia membentangkannya di Dewan Rakyat," katanya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved