
KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan telah mengemukakan satu nama kepada pihak Istana Negeri Sembilan untuk dipertimbangkan bagi mengisi jawatan Menteri Besar, susulan peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim.
Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, beliau telah mengutus surat rasmi kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi mengemukakan calon berkenaan, namun menyerahkan sepenuhnya keputusan pelantikan itu kepada baginda.
Beliau turut mengesahkan telah menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail yang dialamatkan kepada Tuanku Muhriz.
Menurut Zahid, keputusan Ismail untuk melepaskan jawatan dibuat secara sukarela dan bukan atas sebarang arahan khusus daripada UMNO.
“Ismail tidak menyatakan alasan berhubung keputusannya, namun berkemungkinan menyedari ia dapat membantu meredakan kemelut politik di negeri berkenaan dalam tempoh lebih singkat,” katanya.
Zahid berkata, pelantikan pengganti Ismail tertakluk kepada perkenan Tuanku Muhriz, selain menegaskan bahawa pengumuman rasmi mengenai pelantikan itu hanya boleh dibuat oleh baginda atau pihak istana selepas mendapat perkenan.
Peletakan jawatan Ismail diumumkan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada 16 November lalu, selepas surat berhubung perkara itu dikemukakan kepada pihak istana.
Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan pada 17 November menjelaskan bahawa Ismail masih kekal menjalankan tugas sebagai Menteri Besar sementara menunggu perkenan Yang di-Pertuan Besar terhadap peletakan jawatannya.
Pihak istana turut memaklumkan bahawa kesahihan surat peletakan jawatan berkenaan masih belum dapat dipastikan. - Getaran, 17 November 2026






