ISU harga tiket Piala Dunia 2026 yang dianggap terlalu mahal terus menjadi perhatian di Mexico apabila Presiden Claudia Sheinbaum memilih untuk tidak menghadiri perlawanan pembukaan di Stadium Azteca pada Jumaat, sebaliknya menonton bersama rakyat di acara tayangan awam.
Sheinbaum berkata, beliau tidak menggunakan tiket peruntukan khas yang diterimanya kerana berpendapat harga tiket tidak mampu ditanggung oleh kebanyakan rakyat Mexico.
“Harga tiket stadium sangat mahal,” katanya ketika sidang media pada Jumaat, sambil menegaskan lebih wajar peluang itu diberikan kepada rakyat biasa yang benar-benar ingin menyaksikan perlawanan secara langsung.
“Lebih baik saya memberikan tempat saya kepada seseorang yang tidak berpeluang hadir, yang mencintai bola sepak, khususnya seorang wanita muda, dan saya meraikannya bersama rakyat secara percuma,” katanya seperti dilaporkan The Guardian.
Harga tiket di Mexico bagi kejohanan itu dilaporkan mencecah sekitar AS$3,000 (kira-kira RM12,172), sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai kemampuan rakyat untuk menikmati acara sukan berprestij dunia tersebut.
Sheinbaum berkata hanya segelintir kecil rakyat mampu membeli tiket pada harga itu.
Tiket milik presiden itu kemudian diserahkan kepada Yolett Cervantes Cuaquehua, atlet muda daripada komuniti Orang Asli Nahua di Veracruz yang dipilih menerusi pertandingan kebangsaan anjuran kerajaan Mexico.
Beliau berjaya mengatasi kira-kira 1,000 finalis lain untuk memperoleh peluang menyaksikan perlawanan dari kawasan VIP.
Cervantes sebelum ini mencuri perhatian apabila videonya tular, memaparkan beliau bermain bola sepak sambil memakai pakaian tradisional dan berkaki ayam.
Minatnya terhadap sukan itu bermula sejak kecil selepas memenangi pertandingan puisi yang membawanya ke Sepanyol untuk menyaksikan perlawanan bola sepak.
“Sebaik pulang, saya jatuh cinta dengan bola sepak dan melupakan puisi,” katanya.
Sheinbaum berkata program pemilihan itu bertujuan membuka lebih banyak peluang kepada wanita muda dalam bidang sukan, termasuk sebagai pemain, pengadil mahupun pengacara, yang sebelum ini dianggap sukar diceburi.
Ketika perlawanan pembukaan berlangsung, beliau memilih untuk berada bersama rakyat menyaksikan aksi Mexico menewaskan Afrika Selatan 2-0 dalam acara tayangan awam di ibu negara, sebagai simbol solidariti terhadap isu kemampuan dan akses kepada acara sukan antarabangsa.



