
PUTRAJAYA: Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing diberikan sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra di sini pagi ini sempena lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.
Ketibaan Aung Hlaing pada pukul 8.55 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Aung Hlaing kemudian memeriksa pasukan kawalan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, diketuai oleh Mejar Muhammad Nur Addeen Mustaza.
Hadir sama Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta lain-lain jemaah menteri.
Aung Halaing kemudiannya menandatangani buku pelawat sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan Anwar bagu membincangkan beberapa isu utama antara kedua-dua negara.
Antaranya ialah usaha pemulangan warga Myanmar daripada semua kumpulan etnik yang berada di Malaysia secara tidak sah, dengan proses tersebut dilaksanakan secara sukarela, bermaruah dan selamat.
Kedua-dua pemimpin turut dijangka meneliti usaha yang sedang dilaksanakan melalui mekanisme ASEAN.
Menurut Kementerian Luar, lawatan ini memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk meneruskan penglibatan secara langsung dengan Myanmar, selaras dengan keputusan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 pada Mei 2026 untuk meneruskan penglibatan yang konstruktif dan berprinsip dengan negara itu berlandaskan Pemuafakatan Lima Perkara ASEAN (5PC).
Semasa Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Anwar telah mengadakan dua pertemuan dengan Aung Hlaing, yang ketika itu bergelar Jeneral Kanan, sebagai sebahagian daripada penglibatan Malaysia dengan Myanmar.
Selain itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, telah mengadakan lawatan ke Myanmar pada April dan Oktober 2025 serta Mei 2026.
“Myanmar merupakan sebahagian penting daripada ASEAN. Sebagai Negara Anggota ASEAN, Malaysia akan terus menyokong usaha ASEAN ke arah keamanan dan perdamaian serta memastikan akses kepada bantuan kemanusiaan di Myanmar.
“Malaysia juga akan terus bekerjasama rapat dengan semua Negara Anggota ASEAN bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran di rantau ini,” katanya. – UTUSAN
The post Presiden Myanmar diberi sambutan rasmi negara appeared first on Utusan Malaysia.




