
PUTRAJAYA – Malaysia dan Myanmar menzahirkan persetujuan untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan memberi tumpuan kepada perkara berkepentingan rakyat.
Persetujuan bersama itu termasuk memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan, agromakanan, tenaga, penjagaan kesihatan dan pembangunan kapasiti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan itu dicapai dalam perbincangan beliau dengan Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing yang dalam lawatan rasminya ke Malaysia.
Jelasnya, biarpun kedua-dua negara perlu menangani beberapa isu, tumpuan hubungan Malaysia-Myanmar mesti kekal kepada rakyat.
“Kita bersetuju bahawa, di sebalik isu yang perlu kita tangani, tumpuan mesti diberikan kepada rakyat kita.
“Rakyat kita bermakna perdagangan, pelaburan, kerjasama dalam semua bidang termasuk pendidikan, agromakanan, tenaga, penjagaan kesihatan dan pembangunan kapasiti,” katanya dalam sidang akhbar bersama Min Aung Hlaing sempena lawatan rasmi dua hari Presiden Myanmar itu ke Malaysia di sini, hari ini.
Anwar berkata, hubungan ekonomi kedua-dua negara juga menunjukkan potensi besar apabila peningkatan tahun ke tahun sehingga kini sudah melebihi 140 peratus.
Beliau menyifatkan, perkembangan itu sebagai sesuatu yang menggalakkan dari segi hubungan ekonomi dan potensi kerjasama antara Malaysia dan Myanmar.
Katanya, Malaysia turut menghargai keterbukaan Presiden Myanmar serta kesediaan kerajaan negara itu untuk mendengar pandangan dan melakukan penyesuaian yang diperlukan bagi memperkukuh hubungan dua hala.
“Pada mulanya saya tidak pasti kerana sudah agak lama hubungan ini terhenti, tetapi selepas pertemuan pertama saya dengan anda di Bangkok, saya tahu perkara ini boleh dilaksanakan.
“Anda bukan sahaja berterus terang, malah sangat bersedia untuk menerima pandangan, mendengar pandangan dan membuat penyesuaian yang diperlukan,” katanya.
Anwar berkata, Malaysia akan melakukan yang termampu bagi memastikan kerjasama dengan Myanmar terus diperkukuh, termasuk dalam konteks hubungan serantau menerusi ASEAN.
“Namun buat masa ini, dari segi hubungan dua hala antara Malaysia dan Myanmar, hubungan tersebut seharusnya dibawa ke tahap yang lebih tinggi,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Malaysia-Myanmar setuju perkukuh hubungan berkepentingan rakyat appeared first on Kosmo Online.






