Presiden Perancis berlepas pulang selepas lawatan rasmi 2 hari ke Malaysia

LocalPolitics
17 Nov 2026 • 7:43 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Presiden Perancis berlepas pulang selepas lawatan rasmi 2 hari ke Malaysia

SEPANG – Presiden Perancis, Emmanuel Macron hari ini berlepas pulang selepas mengakhiri lawatan rasmi dua hari ke Malaysia atas undangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lawatan ini kunjungan pertama Macron ke Malaysia sejak beliau memegang jawatan pada Mei 2017.

Pesawat khas yang membawa Macron, isterinya, Brigitte Macron dan delegasi berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 6.05 petang.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo hadir bagi mengucapkan selamat jalan kepada Macron dan delegasi beliau.

Terdahulu, Macron memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada 28 anggota dan pegawai Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja yang diketuai Kapten Luqman Hakim Abd Khar.

Persembahan kebudayaan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara turut diadakan sempena kepulangan Macron, yang mengetengahkan kekayaan warisan budaya kaya masyarakat berbilang kaum di Malaysia melalui tarian tradisional serta penggunaan alat muzik tradisional.

Terdahulu, Macron diberikan sambutan rasmi di Bangunan Sultan Abdul Samad, disusuli perbincangan dua hala yang dipengerusikan bersama Anwar.

Tumpuan perbincangan menjurus kepada usaha meningkatkan hubungan Malaysia-Perancis kepada Perkongsian Strategik sekali gus mencerminkan hubungan erat serta kepentingan strategik yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

Pada 2025, nilai dagangan antara Malaysia dan Perancis berjumlah RM17.78 bilion (ASD4.17 bilion). Eksport Malaysia ke Perancis pula bernilai RM6.05 bilion (ASD1.41 bilion), dengan produk elektrik dan elektronik menjadi kategori eksport utama.

Import dari Perancis bernilai RM11.73 bilion (ASD2.76 bilion), sebahagian besarnya terdiri daripada peralatan pengangkutan, jentera dan bahan kimia.

Perancis adalah rakan perdagangan ke-21 terbesar Malaysia di peringkat global dan keempat terbesar dalam kalangan negara Eropah. – BERNAMA

The post Presiden Perancis berlepas pulang selepas lawatan rasmi 2 hari ke Malaysia appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved