Presiden, Setiausaha PRCA terima anugerah berprestij perhubungan awam peringkat global

15/04/2025 - 14:14
Prof. Mohd Said Bani C.M. Din (kiri) dan Stefanie Braukman. Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 15 April - Public Relations and Communications Association (PRCA) Malaysia meraikan pencapaian bersejarah buat industri perhubungan awam dan komunikasi negara apabila Presidennya, Prof. Mohd Said Bani C.M. Din, dianugerahkan Gold Award for PR Leader of the Future oleh World Communication Forum Association (WCFA).
Anugerah tersebut memperlihatkan kepimpinan strategik dan berwawasan beliau dalam bidang komunikasi.
Beliau juga sebelum ini dinobatkan sebagai Communicator of the Year oleh International Association of Business Communicators (IABC) Asia-Pacific dalam satu majlis di Manila, Filipina.
Prof. Mohd Said Bani berkata, pengiktirafan global adalah satu keperluan penting bagi industri PR Malaysia untuk terus berkembang.
"PRCA Malaysia telah berusaha gigih membuka laluan di peringkat antarabangsa untuk ahli-ahlinya, memastikan kepakaran, kreativiti dan standard profesional kita dihormati di mata dunia.
"Pencapaian ini memperlihatkan bahawa Malaysia memiliki bakat. Hentikanlah tabiat melantik agensi asing untuk projek kebangsaan apabila pengamal tempatan sudah pun membuktikan kemampuan di peringkat dunia," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga pengasas dan Pengarah Urusan bzBee Consult Sdn Bhd, menerima anugerah tersebut pada acara berprestij Davos Communications Awards 2025 yang berlangsung di Switzerland pada minggu lalu.
Selain Prof. Mohd Said Bani, ahli korporat PRCA, bzBee Consult, turut menerima Anugerah Gangsa dalam kategori Kempen Komunikasi Global Terbaik menerusi kempen bertajuk From Discovery to Sustainability: Sarawak’s Brand Evolution as the Gateway to Borneo.
Kempen itu memperlihatkan daya tarikan pelancongan Sarawak ke mata dunia.
Untuk kategori tersebut, Anugerah Emas dimenangi syarikat DTEK dari Ukraine bagi kempen Fight for Light, manakala Anugerah Perak diberikan kepada WORDUP PR dari Jerman untuk kempen UN AIDS Communication Reaches over 3 Billion People.
Dalam perkembangan lain, Setiausaha Kehormat PRCA Malaysia, Stefanie Braukman, turut meraih pengiktirafan antarabangsa apabila diumumkan sebagai Industry Champion dalam PRNews Top Women Awards 2025.
Majlis penyampaian rasmi akan berlangsung di New York pada Jun 2025, sekali lagi menekankan kehadiran kukuh Malaysia dalam landskap komunikasi global.
Sementara itu, Presiden WCFA, Maxim Behar, turut mengucapkan tahniah atas kemenangan penggiat perhubungan awam dan komunikasi negara di peringkat antarabangsa.
"Pencapaian ini menjadi bukti komitmen PRCA Malaysia dalam mengangkat standard profesionalisme, etika dan kecemerlangan dalam bidang komunikasi strategik," ujarnya.
Jelas beliau, melalui penyertaan aktif di peringkat global, PRCA Malaysia meletakkan pengamal komunikasi tanah air bukan sahaja sebagai peneraju serantau, tetapi sebagai kuasa global yang membentuk masa depan komunikasi.
Tambahnya, PRCA Malaysia bukan sekadar melahirkan pengamal berkualiti, ia juga membina reputasi Malaysia sebagai kuasa komunikasi bertaraf dunia.
"Setiap pengiktirafan mengukuhkan suara kita, memperdalam kredibiliti kita dan mengangkat nama Malaysia ke peta global," katanya. - DagangNews.com
standard

