Presiden Turkiye Erdogan lawat Malaysia, perkukuh hubungan strategik

9 Feb 2025 • 4:27 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PUTRAJAYA: Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dari 10 hingga 11 Feb atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan lawatan ini mengukuhkan hubungan rapat antara kedua-dua negara yang terus berkembang berasaskan hubungan yang lama terjalin, terutamanya selepas penaiktarafan ke Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada Julai 2022.

Menurut kenyataan itu, Erdogan akan diraikan dalam satu Istiadat Sambutan Rasmi di Kompleks Perdana Putra pada Selasa, sebelum mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri.

Kedua-dua pihak akan meneliti kemajuan hubungan CSP di antara Malaysia dan Türkiye, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan, halal, kerjasama dalam bidang tenaga, pengurusan bencana, kesihatan, sains dan teknologi serta kesalinghubungan.

Mereka juga dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuk Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, penganjuran Forum Diplomasi Antalya 2025 buat kali keempat oleh Türkiye, Islamofobia dan perjanjian gencatan senjata terkini di Gaza.

Kedua-dua pemimpin kemudiannya akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman, Perjanjian dan Nota sebelum mengadakan sidang akhbar bersama.

Kementerian turut memaklumkan satu jamuan tengah hari yang dihoskan oleh Perdana Menteri bagi meraikan Erdogan juga akan diadakan di Kompleks Seri Perdana.

“Selaku Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia komited untuk mengukuhkan integrasi serantau dan menjalin kerjasama melangkaui rantau ini, manakala Türkiye sebagai Rakan Dialog Sektoral ASEAN, berada pada kedudukan yang baik untuk memainkan peranan penting dalam memajukan keutamaan ekonomi ASEAN,“ menurut kenyataan itu.

Türkiye menjadi Rakan Dialog Sektoral ASEAN pada 2017, dengan bidang kerjasama praktikal antara ASEAN-Turkiye (2024-2028) berfungsi sebagai kerangka untuk kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.

Pada 2024, Türkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar dan destinasi import keempat terbesar dari rantau Asia Barat.

Pada tahun sama, jumlah dagangan Malaysia dengan Türkiye meningkat sebanyak 18.7 peratus kepada RM24.13 bilion (US$5.28 bilion) dari tahun sebelumnya.