Prestasi Dialog kekal stabil, projek terminal AS$330 juta sokong prospek jangka sederhana - Kenanga

04/08/2025 - 10:40
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 4 Ogos – Prestasi Dialog Group Bhd dijangka kekal stabil, dipacu oleh kadar penghunian yang tinggi dan harga sewaan semasa yang menggalakkan di terminal tangki bebas miliknya, sejajar dengan permintaan serantau yang konsisten terhadap perkhidmatan penyimpanan bahan kimia dan tenaga, kata Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu berkata, penyempurnaan kontrak legasi kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang terjejas akibat kenaikan kos sebelum ini akan menyumbang kepada sekurang-kurangnya pulangan modal dalam tempoh terdekat.
“Buat masa ini, kami percaya jangkaan pasaran masih konservatif dan terdapat potensi kenaikan terhadap unjuran pendapatan syarikat dalam jangka sederhana.
“Selain itu, segmen penyelenggaraan loji dijangka akan mendapat manfaat daripada peningkatan aktiviti penyelenggaraan dan hentitugas (turnaround) dalam sektor hiliran Malaysia yang dijangka bermula tahun kewangan 2026 (FY26),” kata Kenanga dalam nota kajiannya.
Firma itu menyifatkan usaha sama terbaharu Dialog yang melibatkan perjanjian penggunaan terminal bernilai AS$330 juta bagi menyokong pembangunan projek Penapisan Bio Pengerang sebagai pemangkin positif, memandangkan tiada tambahan kapasiti baharu di luar rancangan asal yang telah diambil kira.
Bagaimanapun, kadar pulangan dalaman (IRR) bagi projek ini dijangka lebih rendah pada 9.5 peratus berbanding 11 hingga 13 peratus bagi projek-projek terdahulu.
“Ini berikutan nisbah perbelanjaan modal kepada kapasiti yang lebih tinggi iaitu RM5,217 bagi setiap meter padu, berbanding RM4,846 untuk Terminal Pengerang 2 yang mempunyai kapasiti 1.3 juta meter padu,” katanya.
Berdasarkan kadar purata wajaran kos modal (WACC) sebanyak 6.3 peratus, Kenanga mengunjurkan peningkatan nilai penilaian berasaskan aliran tunai terdiskaun (DCF) sebanyak RM0.02 sesaham, dengan sumbangan pendapatan tahunan sebanyak RM16 juta, bersamaan empat peratus daripada unjuran keuntungan FY25.
Kenanga berkata, projek baharu itu juga dilihat sejajar dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), kerana ia berfungsi sebagai hab penyimpanan untuk bahan api penerbangan mampan (SAF), minyak sayuran terhidrogenasi (HVO) dan bionaphtha.
Kenanga turut mengekalkan saranan "Outperform" ke atas Dialog dengan harga sasaran RM1.96 sesaham.
“Dialog terus menjadi pilihan utama kami dalam sektor ini kerana potensi pemulihan margin dalam segmen penyelenggaraan loji, EPCC dan produk pakar yang berterusan,” katanya. - DagangNews.com
standard
