
KUALA LUMPUR - Ketua Muda PEJUANG, Dr Abu Hafiz Salleh Huddin mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas menimbangkan pelbagai perkara, termasuk atas dasar tanggungjawab susulan prestasi buruk parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
Katanya, kepemimpinan baharu sayap itu diharapkan mampu menggalas tanggungjawab ditinggalkan dengan lebih cemerlang.

"Jutaan terima kasih dan penghargaan diucapkan buat Tun Dr Mahathir Mohamad, kepimpinan utama parti dan teman-teman kepimpinan Pejuang Muda Malaysia atas kepercayaan sebagai Ketua Pejuang Muda Malaysia.
"Pengalaman yang digarap selama ini akan dijadikan ilmu yang sangat berguna, Insya-ALLAH," katanya hari ini.
Pada PRU-15, Gerakan Tanah Air (GTA) yang bertanding menggunakan logo PEJUANG gagal meraih sebarang kemenangan meskipun meletakkan calon untuk bersaing di 125 kerusi.
PEJUANG yang dipimpin Dr Mahathir telah membentuk GTA bersama Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan golongan profesional.
Pada PRU-15, calon GTA bertanding menggunakan logo PEJUANG kecuali di Kelantan yang menggunakan logo PUTRA.
Dr Mahathir turut tewas dalam cubaan merebut kerusi Parlimen Langkawi dan hanya meraih 4,566 undi, sekali gus hilang deposit pertaruhan.

Anaknya, yang juga Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz serta calon GTA lain juga gagal, dan menimbulkan persoalan sama ada parti itu akan terus bertahan sebagai entiti politik selepas PRU-15.
Terdahulu, Dr Mahathir berkata, oleh kerana PEJUANG kalah di semua 125 kawasan yang dipertandingkan, maka parti itu turut gagal memasuki Dewan Rakyat sebagai pembangkang.
Katanya, segala perancangan PEJUANG untuk negara terpaksa digugurkan dan parti itu akan menyokong pemerintahan yang menang. - Getaran, 11 Disember 2022

