Prestasi kewangan Pentamaster diramal berkembang pada 2HFY25 dipacu segmen automotif, perubatan - Phillip Capital

19/08/2025 - 12:26
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 19 Ogos - Pentamaster Corporation Bhd dijangka mencatatkan prestasi kewangan yang lebih baik pada separuh kedua tahun kewangan 2025 (2HFY25), dipacu permintaan berterusan dalam segmen automotif dan pemulihan dalam segmen perubatan.
Phillip Capital berkata, prestasi suku 2QFY25 banyak disokong segmen automotif, khususnya permintaan stabil daripada pelanggan berkaitan kenderaan elektrik (EV), dan trend itu dijangka berterusan sepanjang baki tahun ini.
Katanya, segmen perubatan pula menunjukkan pemulihan yang kukuh selepas prestasi lemah pada 1QFY25, disokong buku tempahan bernilai RM175 juta yang memberikan keterlihatan pendapatan hingga akhir 2025.
"Kedua-dua segmen ini dijangka menyumbang antara 55% hingga 60% daripada jumlah hasil tahun 2025, manakala sumbangan daripada segmen pengguna/industri, semikonduktor dan elektro-optikal dijangka kekal stabil.
"Segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) pula dijangka mula menyumbang secara lebih ketara mulai tahun 2026," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu optimis terhadap prospek pertumbuhan kumpulan pada 2026 dengan segmen perubatan dan semikonduktor dikenal pasti sebagai pemacu utama.
Katanya, syarikat kini berada di peringkat akhir pensijilan semula peranti pemantauan glukosa miliknya selepas operasi dipindahkan ke Kampus 3, dengan pengkomersialan disasarkan bermula pada 2026.
Dalam perkembangan berkaitan, anak syarikat baharu yang terlibat dalam bidang perubatan, Mirak Medica, telah ditubuhkan dan bakal bekerjasama dengan usahawan tempatan untuk membangunkan rumusan perubatan tempatan bersama Kementerian Kesihatan dan hospital awam.
"Pentamaster juga telah berjaya memperoleh dua pelanggan baharu dalam segmen RE, masing-masing dari Amerika Syarikat (AS) – satu dalam teknologi bateri untuk industri automotif dan satu lagi dalam sistem solar fotovoltaik.
"Kedua-dua pelanggan ini dijangka menyumbang kepada pendapatan secara lebih signifikan menjelang 2026," katanya.
Phillip Capital mengekalkan saranan "pegang" ke dengan harga sasaran (TP) RM3.57 sesaham," katanya.- DagangNews.com
standard
