Hasil Unisem pada 3QFY25 diramal berkembang sederhana disebabkan cabaran berkaitan tarif - Kenanga

LocalBusiness & Finance
14 Aug 2025 • 3:14 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hasil Unisem pada 3QFY25 diramal berkembang sederhana disebabkan cabaran berkaitan tarif - Kenanga

image is not available

14/08/2025 - 15:14

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Hasil Unisem (M) Berhad pada 3QFY25 diramal berkembang sederhana disebabkan saingan sengit dan cabaran berkaitan berkaitan tarif dalam pasaran semikonduktor, kata Kenanga Research.

Katanya, dalam usaha mengoptimumkan operasi, kumpulan telah memulakan pemindahan pelanggan utama dari tapak Simpang Pulai ke kemudahan baharu di Gopeng, yang bertujuan merasionalisasikan struktur kos dan meningkatkan kecekapan jangka panjang.

Firma penyelidikan itu berkata, penyatuan itu dijangka mempercepatkan usaha syarikat untuk pulang modal bagi operasi Malaysia dalam tempoh satu hingga dua suku akan datang.

"Walaupun kumpulan tidak terkesan secara langsung oleh tarif AS, Unisem tetap berhati-hati dalam menghadapi ketegangan geopolitik yang berterusan dan halangan dasar perdagangan, yang berpotensi menjejaskan sentimen pengguna dan mengganggu aliran permintaan global," katanya dalam satu nota kajian.

Terdahulu, untung bersih kumpulan bagi 2QFY25 susut kepada RM9.13 juta berbanding RM16.76 juta pada suku yang sama tahun lalu, sekali gus menterjemahkan kepada pendapatan sesaham sebanyak 0.57 sen, berbanding 1.04 sen bagi suku perbandingan.

Hasil bagi suku berkenaan bagaimanapun naik kepada RM475.15 juta, berbanding RM394.59 juta pada 2QFY24.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2025 (1HFY25), untung bersih Unisem ialah RM15.14 juta dengan pendapatan sebanyak RM898.77 juta dan ia menyusut berbanding untung bersih sebanyak RM25.22 juta dan pendapatan RM759.36 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Firma penyelidikan itu menurunkan unjuran pendapatan FY25 sebanyak 15% kepada RM62 juta bagi mencerminkan keputusan 1HFY25 yang lebih lemah daripada jangkaan, manakala unjuran untuk FY26 dikekalkan.

"Kami mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi RM1.23 berbanding RM1.05 sesaham," katanya.- DagangNews.com

standard