hamden26/11/2026 - 19:27 Peluasan aras perlindungan pengguna domestik daripada 600 kWj kepada 800 kWj sebulan bagi tempoh September hingga Disember 2026 telah memanfaatkan lebih lapan juta atau sehingga 90 peratus pengguna domestik. Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Nov - Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus memperkukuh komitmennya untuk melindungi pengguna elektrik daripada peningkatan kos bahan api global menerusi kerjasama erat dengan Kerajaan, disokong oleh prestasi kewangan dan operasi yang kekal berdaya tahan bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026.
Dalam persekitaran ketidaktentuan pasaran bahan api global, termasuk cabaran susulan perkembangan di Asia Barat, TNB kekal memberi tumpuan kepada pengurusan kos secara berhemah, menjaga kepentingan pengguna serta mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh bagi memenuhi keperluan tenaga negara yang semakin meningkat.
Pengguna terus diutamakan ketika tekanan kos bahan api global
Ketika tekanan peningkatan kos bahan api global terus memberi kesan kepada pasaran tenaga, TNB dan Kerajaan telah melaksanakan langkah-langkah secara bersama bagi mengurangkan kesan kenaikan kos terhadap pengguna, di samping memastikan bekalan elektrik kekal berdaya harap dan mampan.
Walaupun perubahan kos bahan api dicerminkan menerusi mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) yang diluluskan Kerajaan, TNB turut mengambil langkah proaktif bagi memperkukuh perlindungan pengguna.
TNB dianggarkan menyerap sehingga RM150 juta bagi caj AFA dan caj peruncitan susulan peluasan aras perlindungan pengguna domestik daripada 600 kWj kepada 800 kWj sebulan bagi tempoh September hingga Disember 2026, yang memanfaatkan lebih lapan juta atau sehingga 90 peratus pengguna domestik. Langkah ini merupakan pelaburan dalam membina kepercayaan jangka panjang dan kestabilan kawal selia, sekali gus mewujudkan asas bagi pulangan mampan TNB.
Langkah tersebut melengkapi peruntukan Kerajaan sebanyak RM435 juta daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) bagi mengurangkan kesan surcaj AFA untuk tempoh Mei hingga Ogos 2026. Pengguna juga telah menerima rebat AFA berjumlah RM3.1 bilion antara Julai 2025 hingga April 2026, mencerminkan tindak balas mekanisme tersebut terhadap perubahan kos bahan api global.
Langkah-langkah ini mencerminkan kerjasama erat antara TNB dan Kerajaan dalam menangani tekanan kos bahan api global, dengan kepentingan serta kesejahteraan pengguna elektrik terus menjadi keutamaan.
Selain itu, TNB terus memperkasakan pengguna untuk mengurus penggunaan elektrik mereka dengan lebih berkesan. Aplikasi myTNB membolehkan pengguna memantau penggunaan elektrik, manakala ciri Energy Budget membantu mereka merancang dan mengurus penggunaan bulanan. Skim Masa Penggunaan (Time-of-Use atau ToU) pula memberi peluang kepada pengguna yang layak untuk mengurus kos elektrik dengan mengalihkan penggunaan ke waktu luar puncak.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Dato’ Sri Ir. Ts. Shamsul Ahmad berkata, TNB kekal komited untuk menyokong pengguna di samping mengekalkan daya tahan operasi dan kewangan yang diperlukan bagi memastikan bekalan elektrik yang berdaya harap serta mempersiapkan sistem tenaga Malaysia untuk pertumbuhan masa hadapan.
“Tanggungjawab kami bukan sekadar memastikan bekalan elektrik sentiasa tersedia, malah memastikan isi rumah menikmati bekalan elektrik yang berdaya harap untuk kehidupan seharian, perniagaan mempunyai tenaga yang diperlukan untuk berkembang, dan Malaysia memiliki sistem elektrik yang berdaya tahan bagi menyokong aspirasi ekonominya,” katanya.

Memastikan Malaysia kekal dijana
TNB terus memastikan bekalan elektrik yang berdaya harap dalam menghadapi peningkatan permintaan yang didorong oleh pengembangan sektor perindustrian di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), pertumbuhan ekonomi digital serta peningkatan pelaburan dalam pusat data.
Permintaan elektrik meningkat sebanyak 8.3% tahun ke tahun kepada 108.2 TWj, disokong oleh peningkatan penggunaan dalam sektor komersial dan domestik, serta perkembangan aktiviti ekonomi serta keperluan tenaga yang semakin meningkat daripada pusat data, infrastruktur digital dan perniagaan.
Sementara itu, Indeks Tempoh Masa Purata Gangguan Sistem (SAIDI) bertambah baik kepada 34.90 minit berbanding 34.99 minit bagi tempoh sama tahun sebelumnya. Pencapaian ini mencerminkan tumpuan berterusan TNB terhadap prestasi operasi dan kebolehharapan bekalan elektrik, disokong oleh penyelenggaraan pencegahan, automasi rangkaian dan kesiapsiagaan operasi.

Memacu aspirasi peralihan tenaga Malaysia
Bagi menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), TNB terus melabur dalam infrastruktur tenaga kritikal untuk mempercepatkan integrasi tenaga boleh diperbaharui, meningkatkan fleksibiliti grid dan memastikan bekalan elektrik yang berdaya harap ketika negara beralih ke arah ekonomi rendah karbon.
Bagi tempoh sembilan bulan 2026, Kumpulan telah melabur sebanyak RM9.1 bilion dalam projek berkaitan kebolehharapan bekalan bagi menyokong pembangunan sistem elektrik yang moden dan berdaya tahan serta mampu menampung peningkatan permintaan dan campuran tenaga yang pelbagai.
Antara inisiatif utama termasuk:
• 500 kV National Grid Backbone: Pembangunan rangkaian penghantaran sepanjang 500 kilometer yang disasarkan siap menjelang 2030 bagi memperkukuh kesalinghubungan grid dan memudahkan integrasi tenaga pada masa hadapan.
• Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS): Pentauliahan BESS berkapasiti 100 megawatt/400 megawatt-jam di Santong, Terengganu, yang diiktiraf sebagai BESS pembentuk grid pertama di Malaysia yang disambungkan kepada grid.
• Terminal Regasifikasi 3 (RGT-3): Kerjasama dengan PETRONAS Gas Berhad untuk membangunkan kemudahan tersebut di Lumut, Perak, bagi memperkukuh daya tahan bekalan gas asli cecair (LNG) jangka panjang untuk menyokong penjanaan elektrik yang berdaya harap.

TNB turut memajukan kesalinghubungan tenaga serantau menerusi Grid Kuasa ASEAN (APG), termasuk perkembangan terkini inisiatif perdagangan elektrik rentas sempadan Vietnam-Malaysia-Singapura (VMS), yang bertujuan memudahkan eksport tenaga boleh diperbaharui dari Vietnam melalui Malaysia ke Singapura.
TNB kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan Kerajaan bagi memastikan peralihan tenaga Malaysia dilaksanakan secara teratur, mampu milik dan terjamin. Persekitaran kawal selia yang stabil dan boleh dijangka amat penting bagi mengekalkan pelaburan yang diperlukan untuk pemodenan grid serta integrasi tenaga boleh diperbaharui.
Mencipta nilai buat komuniti dan negara
Selain membekalkan elektrik, TNB terus menyumbang kepada pembangunan mampan Malaysia menerusi pemuliharaan alam sekitar, pendidikan dan pemerkasaan komuniti.
Sepanjang tempoh tersebut, TNB telah menyalurkan RM186 juta bagi inisiatif pembangunan komuniti dan tanggungjawab sosial korporat (CSR), termasuk:
• Pendidikan (RM133.2 juta): Sokongan menerusi UNITEN dan Yayasan Tenaga Nasional yang memanfaatkan kira-kira 218,000 pelajar.
• Ekonomi dan sosial (RM23.3 juta): Bantuan persekolahan, bekalan elektrik kepada komuniti, bantuan bencana dan Projek Mesra Rakyat yang memanfaatkan 225,000 individu.
• Pembangunan Sukan (RM12.4 juta): Pembangunan sukan hoki dan inisiatif sukan lain yang memanfaatkan 54,000 atlet serta peminat sukan.
• Perlindungan Alam Sekitar (RM3.0 juta): Program MyBrighter Green dan inisiatif pemuliharaan alam sekitar yang lain.
• Pembangunan Negara (RM14.2 juta): Inisiatif yang menyokong kesedaran mengenai peralihan tenaga, perpaduan nasional serta pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Selain itu, sebanyak RM10.6 juta zakat wakalah telah disalurkan kepada lebih 60,000 penerima asnaf.
Mengekal prestasi bagi cipta nilai jangka panjang
Bagi tempoh sembilan bulan 2026, TNB mencatatkan hasil sebanyak RM53.9 bilion berbanding RM50.1 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) berjumlah RM16.1 bilion.
Prestasi berdaya tahan TNB disokong oleh peningkatan jualan elektrik, pengurusan kewangan yang berdisiplin serta usaha berterusan untuk mengoptimumkan kecekapan operasi merentas perniagaannya.
Pencapaian TNB turut menerima pengiktirafan di peringkat tempatan dan antarabangsa, termasuk Brand of the Year 2026–2027 di World Branding Awards, Power Utility of the Year di Enlit Asia, serta Best Public Utility App bagi myTNB di PC.com Readers’ Choice Awards 2026.
Pengiktirafan ini mencerminkan kecemerlangan operasi, kekuatan jenama dan inovasi digital berteraskan pelanggan yang diterajui TNB.

Kekal fokus demi masa hadapan tenaga Malaysia
Melangkah ke hadapan, TNB menjangkakan permintaan elektrik akan terus dipengaruhi oleh pertumbuhan sektor komersial, pendigitalan dan peningkatan keperluan tenaga, sambil kekal berwaspada terhadap ketidaktentuan pasaran bahan api global.
TNB kekal komited untuk mengutamakan pelaburan yang sejajar dengan NETR, khususnya dalam pemodenan grid, integrasi tenaga boleh diperbaharui dan kesiapsiagaan sistem, bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia serta peralihan ke arah masa depan tenaga yang mampan.
“TNB akan terus mengimbangi kebolehharapan operasi, disiplin kewangan dan pelaburan jangka panjang bagi memenuhi keperluan tenaga Malaysia yang semakin berkembang. Tumpuan kami kekal kepada penyediaan bekalan elektrik yang terjamin pada hari ini, sambil membangunkan sistem tenaga yang lebih kukuh dan mampan untuk masa hadapan,” kata Shamsul. - DagangNews.com






