hamden26/11/2026 - 09:56 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Nov - Telekom Malaysia Berhad (TM) dijangka mencatat prestasi keuntungan lebih kukuh pada tahun kewangan 2027 (FY27), disokong pengurangan perbelanjaan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) berkaitan Prihatin serta kos perkhidmatan 5G susulan peralihannya daripada Digital Nasional Berhad (DNB) kepada rangkaian borong 5G U Mobile.
BIMB Securities berkata, pengurangan perbelanjaan berkaitan VSS dijangka menyokong prestasi kewangan TM apabila kos tersebut semakin berkurangan, manakala peralihan kepada rangkaian borong 5G U Mobile dijangka memberikan manfaat menerusi kos berkaitan 5G yang lebih rendah.
Prospek pertumbuhan jangka sederhana TM turut disokong pengembangan portfolio infrastruktur digital, khususnya pusat data dan projek kabel dasar laut.
"Pusat data Fasa 1 TM-Nxera mencapai tahap sedia untuk perkhidmatan pada Oktober 2026 dengan kapasiti dirancang sebanyak 64 megawatt (MW), manakala perancangan bagi Fasa 2 sedang dijalankan.
"Selain itu, pusat data yang diperluas di Iskandar Puteri dan Lembah Klang telah mendapat komitmen penggunaan kapasiti sepenuhnya," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
BIMB Securities berkata, TM juga memperoleh kelulusan untuk melaksanakan projek kabel dasar laut SALAM bernilai RM2.7 bilion yang akan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan menerusi Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).
"Pihak pengurusan menjelaskan bahawa TM akan mengekalkan pemilikan penuh serta tanggungjawab operasi projek berkenaan," katanya.
Dalam perkembangan berasingan, projek Asia Link Cable (ALC) kekal mengikut jadual untuk mencapai tahap sedia untuk perkhidmatan pada separuh pertama 2027 (1H27).
Pusat data penuhi garis panduan cip termaju AS
Sementara itu, RHB Research berkata, TM telah mengikat kontrak bagi lebih 70% kapasiti pusat data (DC) Nxera Fasa 1 berjumlah 64 megawatt (MW), menjelang kemudahan itu mula beroperasi pada suku pertama 2027 (1Q27).
Perkembangan itu mencerminkan permintaan terhadap kapasiti pusat data syarikat, dengan peluasan Fasa 2 turut sedang dilaksanakan, manakala tambahan kapasiti sebanyak 10MW di pusat data Cyberjaya (KVDC) telah dikontrak sepenuhnya.
Dalam taklimat keputusan kewangan terbaharu, TM turut menjelaskan syarikat mematuhi sepenuhnya garis panduan cip termaju Amerika Syarikat (AS), dengan operasi pusat datanya sebahagian besarnya tertumpu kepada penyediaan perkhidmatan kolokasi kepada pelanggan.
Pendedahan syarikat kepada penyedia perkhidmatan awan hiperskala dari Barat dan Timur juga adalah seimbang.
TM berkata, perkhidmatan GPU sebagai perkhidmatan (GPUaaS) yang ditawarkan pada skala kecil adalah berdasarkan permintaan, khususnya bagi memenuhi keperluan pelanggan kecerdasan buatan (AI) berdaulat termasuk kerajaan dan perusahaan.
Prestasi kewangan
Mengulas prestasi kewangan, RHB Research berkata, secara keseluruhan, keuntungan teras TM bagi 3Q26 berjumlah RM443.3 juta, meningkat 3% QoQ selepas mengambil kira pelarasan jualan tembaga, kos Program Prihatin dan pertukaran mata wang asing.
Namun, keuntungan teras itu susut 16.3% tahun ke tahun (YoY), disebabkan asas perbandingan tinggi susulan kredit cukai yang direkodkan pada 3Q25.
Bagi 9M26, keuntungan teras meningkat 1% kepada RM1.29 bilion, merangkumi 74% daripada anggaran penganalisis dan 76% daripada anggaran konsensus.
TM turut mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 10 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen terkumpul bagi tahun kewangan semasa sebanyak 23.5 sen, bersamaan nisbah pembayaran 76%, sejajar dengan panduan minimum pembayaran dividen sebanyak 75%.
Penilaian saham
RHB Research mengekalkan saranan BELI dengan harga sasaran RM9.30, potensi kenaikan 22% dan anggaran hasil dividen sekitar 5% bagi FY27F.
Sementara itu BIMB Securities mengekalkan saranan PEGANG terhadap saham TM, tetapi menurunkan harga sasaran kepada RM7.50 daripada RM8 sebelum ini berikutan semakan unjuran keuntungan.
Pada harga saham RM7.63, harga sasaran baharu itu mewakili potensi penurunan sebanyak 1.7%.
Menurut firma penyelidikan itu, walaupun prospek jangka panjang TM kekal positif, sebahagian besar jangkaan pertumbuhan berkenaan sudah dicerminkan dalam harga saham, justeru pelabur disarankan mempertimbangkan pembelian ketika harga saham mengalami kelemahan. - DagangNews.com






