Prestasi Vantage RE di United Kingdom perkukuh strategi tenaga hijau TNB, kata RHB Research

Business & FinanceEnvironment
31 Jul 2026 • 9:57 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Prestasi Vantage RE di United Kingdom perkukuh strategi tenaga hijau TNB, kata RHB Research Image from: Prestasi Vantage RE di United Kingdom perkukuh strategi tenaga hijau TNB, kata RHB Research hamden31/07/2026 - 09:57 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 31 Julai - Anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Bhd (TNB) di United Kingdom (UK), Vantage RE, dijangka meningkatkan kapasiti portfolio tenaga boleh baharu (TBB) kepada 1.2 gigawatt (GW) menjelang 2030, sekali gus mengukuhkan peranan syarikat itu dalam mempercepatkan peralihan tenaga dan memperluaskan jejak tenaga hijau TNB di peringkat antarabangsa.

 

RHB Research berkata, Vantage RE yang kini mengendalikan 908 megawatt (MW) aset TBB di UK dan Ireland mempunyai saluran pembangunan projek berkapasiti 360MW, membolehkan kapasiti keseluruhannya berkembang hampir 40% dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

Menurut firma penyelidikan itu, daripada kapasiti baharu berkenaan, 115MW melibatkan projek tenaga angin darat, manakala 245MW lagi terdiri daripada sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS).

 

"Pengurusan yakin projek-projek tersebut dapat direalisasikan selepas memperoleh kelulusan penting membabitkan penggunaan tanah serta sambungan grid.

 

"Kami menganggarkan kapasiti Vantage RE akan berkembang kepada 1.2GW menjelang akhir 2030, sekali gus mewakili kira-kira 12% daripada kapasiti tenaga boleh baharu TNB dan 6% daripada keseluruhan kapasiti penjanaan elektrik kumpulan," katanya dalam nota penyelidikan selepas lawatan ke aset TBB TNB di UK.

 

Vantage RE yang ditubuhkan pada 2021 kini mengendalikan 94 projek tenaga boleh baharu di UK dan Ireland, dengan kira-kira 60% daripada pendapatannya disokong kontrak jangka panjang, sekali gus menyediakan aliran pendapatan yang lebih stabil.

 

Portfolio itu juga membantu mengurangkan pelepasan karbon dioksida setara (CO2e) sebanyak kira-kira 477,000 tan setiap tahun.

 

Nilai Strategik

Walaupun operasi antarabangsa tersebut hanya menyumbang sekitar 2% kepada EBITDA kumpulan, RHB Research berpandangan aset berkenaan mempunyai nilai strategik kerana membantu meningkatkan keupayaan teknikal TNB serta memperkukuh ekonomi projek tenaga boleh baharu yang bakal dibangunkan di Malaysia.

 

Sepanjang lawatan itu, firma penyelidikan berkenaan turut meninjau ladang angin Whiteside Hill berkapasiti 28.5MW berhampiran Glasgow yang mencatat faktor kapasiti 42%, jauh melebihi purata global antara 25% hingga 35%.

 

Ladang tersebut menjana sekitar 94 gigawatt-jam (GWh) tenaga elektrik setahun, mencukupi untuk membekalkan bekalan elektrik kepada kira-kira 25,000 rumah.

 

RHB Research turut melawat ladang solar Eastfields berkapasiti 35MWp yang menggunakan teknologi pengesan suria paksi tunggal (single-axis tracking), membolehkan panel solar mengikuti pergerakan matahari dan meningkatkan pengeluaran tenaga sebanyak 10% hingga 20% berbanding sistem panel tetap.

 

Secara keseluruhannya, firma penyelidikan itu mengunjurkan kapasiti tenaga boleh baharu TNB berkembang 139% kepada 11GW menjelang 2030, sekali gus meningkatkan campuran tenaga boleh baharu dalam portfolio penjanaannya kepada 49%, berbanding sekitar 23% ketika ini.

 

Berdasarkan prospek pertumbuhan tersebut, RHB Research mengekalkan saranan "Beli" terhadap saham TNB dengan harga sasaran RM16.50 sesaham.

 

Menurutnya, TNB kekal sebagai antara penerima manfaat terbesar Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), manakala portfolio antarabangsa Vantage RE dijangka terus menjadi pemacu penting dalam memperkukuh kedudukan syarikat sebagai pemain utama tenaga boleh baharu serantau. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved