Prestasi YTL Power dijangka kukuh dalam 4QFY23 didorong keuntungan PowerSeraya, Wessex Water – Kenanga Research
diyana
15/08/2023 - 10:57
KUALA LUMPUR 15 Ogos - Kenanga Research menjangkakan prestasi YTL Power International Bhd kukuh dalam suku keempat tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (4QFY23) dengan keuntungan bersih meningkat 10% sehingga 12% suku ke suku (QoQ).
Menurut firma penyelidikan tersebut, jangkaan peningkatan keuntungan tersebut kepada RM585 juta sehingga RM590 juta adalah berikutan keuntungan sebelum cukai PowerSeraya dijangka lebih tinggi pada RM830 juta, berserta Wessex Water bertukar mencatatkan keuntungan sekitar RM140 juta.
Jelasnya, ia akan didorong oleh kenaikan harga runcit kuasa Singapura sebanyak 43% pada suku kedua tahun ini dan purata kenaikan tarif Wessex Water kira-kira 9% daripada April 2023.
“Kami menaikkan unjuran keuntungan FY23 dan FY24 kami masing-masing sebanyak 26% dan 34%, menaikkan harga sasaran (TP) sebanyak 25% kepada RM1.85 (daripada RM1.48) dan mengekalkan saranan ‘outperform’,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Kenanga Research berkata unjuran pendapatan FY24 sebanyak RM1.34 bilion lebih rendah daripada FY23 pada RM1.54 bilion berikutan jangkaan pendapatan PowerSeraya kembali normal disebabkan harga elektrik sangat tinggi pada separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23).
“Harga Tenaga Singapura Tetap (USEP) telah jatuh 55% daripada puncak S$492.1/MWj (setiap Megawatt-jam) pada bulan Mei kepada S$221.0/MWj pada bulan Julai.
“Bagaimanapun, harga runcit tidak mungkin jatuh ke paras sebelum COVID di bawah S$100/MWj dalam tempoh terdekat kerana tiada loji baharu yang beroperasi di Singapura untuk tiga tahun akan datang,” jelasnya.
Sementara itu, firma itu berkata unjurannya tidak mengambil kira sebarang sumbangan daripada projek pusat data.
“Kami terus menyukai YTL Power kerana: (i) prospek pendapatannya bertambah baik dengan pemulihan PowerSeraya, (ii) kadar tarif baharu yang disemak semula mulai April 2023 memastikan pendapatan Wessex Water berdaya tahan, dan (iii) potensi pendapatan yang besar daripada usaha niaga pusat data baharu,” tambahnya.
Pada waktu penulisan, saham YTL Power menokok 2 sen atau 1.3% kepada RM1.59 dengan permodalan pasaran berjumlah RM13 bilion. - DagangNews.com

