Keuntungan MISC diunjur lebih lemah untuk dua suku akan datang didorong penyusutan kadar perkhidmatan kapal tangki, kata CGS-CIMB

Business & Finance
10 Aug 2023 • 2:43 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Keuntungan MISC diunjur lebih lemah untuk dua suku akan datang didorong penyusutan kadar perkhidmatan kapal tangki, kata CGS-CIMB

azan

10/08/2023 - 14:43

KUALA LUMPUR 10 Ogos - CGS-CIMB Research menjangkakan MISC Berhad mencatatkan keuntungan yang lebih lemah untuk suku kedua dan suku ketiga tahun ini selepas kadar perkhidmatan kapal tangki menyusut dengan ketara berbanding paras tertinggi antara November dan Disember 2022.

Firma penyelidikan itu percaya keuntungan unit terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) Mero-3 juga akan berkurangan kerana ia sudah 95% siap.

"Antara risiko yang bakal dihadapi termasuk potensi pemulihan kadar perkhidmatan kapal tangki sekiranya pemotongan pengeluaran dihapuskan pada suku keempat selain itu mereka juga berdepan kelewatan dalam projek FPSO Mero 3," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Firma penyelidikan itu berkata, pemotongan pengeluaran minyak dan eksport jelas memberi kesan negatif terhadap kadar penghantaran kapal tangki yang mula menurun secara mendadak pada Julai lalu.

Katanya, harga minyak mentah Ural Rusia kekal melebihi had harga yang ditetapkan G7 iaitu AS$60/bbl menyebabkan beberapa syarikat perkapalan mengelak penarikan minyak mentah Rusia agar tidak melanggar sekatan.

"Banyak kapal tangki aframax dan suezmax keluar dari perdagangan Rusia, menyebabkan penurunan mendadak dalam kadar tambang apabila mereka ke wilayah lain untuk mencari peluang lain.

"Rejim had harga (berkuat kuasa 5 Disember 2022) membenarkan syarikat perkapalan dan insurans yang berdomisil G7 untuk memudahkan eksport minyak mentah Rusia hanya jika harga jualan di bawah AS$60/bbl," katanya.

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran RM7.76 sesaham.- DagangNews.com