Bersama-sama dengan pelancaran televisyen pintar mereka, PRISM+ juga telah mengumumkan pelancaran dua perkakasan pembersih hampagas untuk pasaran Malaysia, iaitu PRISM+ EvoSonic Ultra Detect dan juga robot vakum PRISM+ Nanobot Smart.

PRISM+ EvoSonic merupakan sebuah pembersih hampagas nirwayar yang padat dan mudah digunakan, dan boleh menyedut pelbagai jenis habuk dan kotoran kering, manakala aksesori Aquamarine Roller Brush pula boleh membantu membersihkan kotoran-kotoran basah seperti air, sos dan sebagainya. Ia juga hadir dengan lampu LED berwarna hijau untuk memudahkan penjejakan habuk, dan mempunyai penuras HEPA yang menjanjikan habuk sekecil kuman juga boleh ditangkap olehnya.

Motor BLDC 500W ini hadir dengan kuasa sedutan 160AW yang bukan sahaja sangat berkuasa, tetapi dengan satu pengecasan penuh, membolehkan EvoSonic Ultra Detect ini untuk digunakan selama 85 minit dengan satu pengecasan penuh. Sistem pintar terbina pada pembersih hampagas ini juga boleh menjejak jenis kotoran dan mengubah kekuatan sedutan secara automatik sekiranya diperlukan.

Robot vakum PRISM+ Nanobot Smart pula hadir dengan kuasa sedutan 13,000Pa dan boleh mengimbas dan menyedut kotoran dari pelbagai jenis permukaan, dari lantai kayu, jubin, karpet, dan direka untuk boleh bertukar kuasa sedutan dari permukaan lantai biasa ke karpet dan menukar kekuatan sedutan tanpa input pengguna.

Sama seperti EvoSonic Ultra, robot vakum Nanobot Smart ini juga boleh membersihkan kotoran kering dan basah dan membersihkan sudut-sudut rumah yang secara lazimnya sukar untuk dibersihkan oleh robot seperti ini. Vakum ini juga hadir dengan bateri sebesar 5200mAH dan boleh beroperasi selama 150 minit dengan satu pengecasan penuh.

PRISM+ EvoSonic Ultra Detect kini sudah mula ditawarkan di pasaran tempatan pada harga RM449, manakala robot vakum PRISM+ Nanobot Smart akan mula dijual di pasaran Malaysia pada bulan Julai ini pada harga RM699.



