PRK Kinabatangan: Dua calon selesai mengundi setakat 9 pagi

LocalPolitics
24 Jan 2026 • 10:03 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Kurniawan Naim (kiri) dan Goldam Hamid selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing.

KINABATANGAN - [DIKEMAS KINI] Dua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing, setakat 9 pagi ini.

Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Kurniawan Naim Moktar tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Bilit pada jam 8.51 pagi dan selesai mengundi pada 8.58 pagi.

Calon Bebas Goldam Hamid pula melaksanakan tanggungjawab mengundi di SK Minusoh pada jam 8.54 pagi.

Sementara itu, calon Warisan bagi Parlimen Kinabatangan Saddi mengundi di SK Batu Puteh pada jam 10.45 pagi tadi.

Bagi PRK DUN Lamag pula, calon Warisan Mazliwati mengundi di SK Buang Sayang pada jam 8.20 pagi manakala calon BN, Mohd Ismail yang mengundi di SK Bukit Garam II pada 1.36 tengah hari menjadi calon terakhir menunaikan tanggungjawab mengundi pada pilihan raya kecil berkenaan.

Pusat pengundian bagi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dibuka serentak pada 7.30 pagi dan akan ditutup pada 5.30 petang ini dengan sebahagian daripadanya ditutup secara berperingkat.

Proses pengundian pada pagi ini berlangsung dalam keadaan cuaca baik.

Penjumlahan rasmi undi akan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi, iaitu di Dewan Sri Lamag dan keputusan rasmi dijangka diumumkan pada jam 10 malam.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam, manakala bagi DUN Lamag menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Disember tahun lepas. - Bernama