PRK Nenggiri: Calon PN lafaz ikrar, sumpah laknat

Politics
29 Jul 2024 • 9:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Rizwadi melafazkan ikrar dan sumpah laknat sebaik sahaja diberi tanggungjawab untuk mewakili PN.

GUA MUSANG - Calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail, 41, dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri melafazkan ikrar dan sumpah laknat sebaik sahaja diberi tanggungjawab untuk mewakili gabungan itu.

Bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang itu melafazkan ikrar dan sumpah tersebut semasa majlis pengumuman calon di Masjid Hijau Renok di sini pada Isnin.

Mohd Rizwadi semasa berbuat demikian menegaskan ia dilakukan dalam keadaan waras, tenang dan tanpa paksaan daripada mana-mana pihak.

"Dengan sukarela saya berikrar dan bersumpah untuk patuh kepada perlembagaan Bersatu serta dasar-dasar perjuangan dengan patuh pada arahan parti serta tidak bercanggah dengan ajaran Islam dan menghormati mandat rakyat apabila terpilih sebagai ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Nenggiri.

"Sekiranya saya meninggalkan parti Bersatu ataupun berhenti menjadi ahli Bersatu atau berpindah ke parti lain atau menyokong parti lain atau pimpinan parti lain dengan kerelaan saya sendiri setelah dipilih menjadi calon ADUN maka saya akan dilaknat oleh ALLAH dan rasul," katanya.

Menurut Mohd Rizwadi, segala perbelanjaan dan keluarga dengan menggunakan wang tersebut adalah haram.

Katanya, beliau menjadikan ALLAH sebagai saksi atas lafaz tersebut.